KOMUNIKASI dua hala penting untuk menyelesaikan masalah dalam rumah tangga. GAMBAR hiasan
KOMUNIKASI dua hala penting untuk menyelesaikan masalah dalam rumah tangga. GAMBAR hiasan
Yusliza Yakimir Abd Talib

CEMBURU tanda sayang, namun jika semua gerak laku pasangan diperhatikan dan pasangan rasa terkong­kong, adakah ia masih boleh dikategorikan sebagai sayang? Sikap terlalu cemburu bukan saja dikaitkan dengan rasa tidak selamat dan takut, malah membuatkan pasangan kurang senang serta tertekan memikirkan dirinya yang sentiasa dikawal ketat.

Jika pasangan terlalu cemburu, mungkin peluang untuk keluar bersama rakan selepas waktu pejabat atau sekadar bertemu teman lama menimbulkan masalah besar buat anda.

Mana tidaknya, ada kemungkinan pasangan akan ‘mengekori’ untuk memastikan apakah anda benar-benar bertemu rakan lama. Tidak mustahil juga dia akan muncul di depan anda dan mengajak anda balik.

Bahkan mungkin dia bertindak di luar batasan dengan berkeras sehingga timbul pertengkaran dengan rakan anda.

Sikap terlalu cemburu dan posesif menjadi sesuatu yang sukar diterima. Sukar juga untuk pasangan bertolak ansur dengannya apabila sebelah pihak sahaja yang berasakan tindakannya adalah betul. Apabila keadaan ini tidak dapat dikawal, pasangan akan berasa bosan dan ia mula menjejaskan hubungan.

Isteri rasa diperlukan jika suami menunjukkan kasih sayang terhadapnya, namun ada sesetengah suami berasa lebih dicintai dan penting jika isteri menunjukkan rasa marah dan merajuk apabila dia berbaik dengan wanita lain.

Jadi, bilakah cemburu ini menjadi masalah? Apa yang perlu dilakukan ketika pasangan cemburu?

Dalam hal ini, komunikasi adalah kunci kepada penyelesaiannya. Berbicara dengan pasangan mengenainya supaya anda tahu apa yang bersarang di hati dan fikiran si dia.

TANDA-TANDA PASANGAN TERLALU CEMBURU & POSESIF

- Menghubungi anda setiap dua jam atau lebih kerap hanya untuk mengatakan dia mencintai anda. Ini adalah helahnya untuk memantau pergerakan anda.

- Tidak memberi kebenaran untuk anda berkawan dengan rakan berlainan jantina.

- Ketika pulang selepas anda keluar bersama rakan, anda disiasat sepanjang malam.

- Tidak suka anda pergi ke mana pun tanpa dirinya.

- Mengamuk setiap kali anda menyebut mengenai selebriti lelaki (isteri) dan wanita (suami).

- Kerap menyoal mengenai rakan sekerja lelaki (isteri) dan wanita (suami).

- Turut cemburu pada ahli keluarga anda dan mengajukan pertanyaan seperti, “Mengapa awak berbual dengan ibu begitu lama?”

ANDA TERLALU TAKUT DENGANNYA

Menurut usahawan, Nurain Zolkefli, 34, dalam hubungan suami isteri, perasaan cemburu tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi apabila sikap pasangan yang peramah, ramai kawan atau bekerja dalam bidang yang memerlukannya untuk bertemu ramai orang.

Katanya, ia juga mungkin boleh berlaku terhadap salah seorang pasangan yang dikurniakan rupa paras jelita atau kacak hingga setiap pergerakannya dipantau ketat oleh pasangan.

“Bagi saya, selagi ada perasaan cemburu, ia tandanya hubungan itu normal dan sihat. Bagaimanapun, ia menjadi sebaliknya apabila perasaan cemburu keterlaluan atau tiada langsung perasaan itu.

“Justeru, untuk kekalkan hubungan harmoni dengan suami, saya akan selalu berkomunikasi secara matang dan mengelakkan komunikasi sehala seperti membebel, marah-marah atau bernada sarkastik,” katanya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, kunci utama hubungan juga adalah sentiasa berfikiran positif dan mengelakkan perasaan curiga kerana apa yang difikirkan juga adalah satu doa.

Katanya, sebagai isteri jika hati asyik fikir perkara negatif terhadap suami, tidak mustahil ia boleh menjadi kenyataan.

NURAIN dan Nur Afiza
NURAIN dan Nur Afiza

Bagi Afiza Kamarulzaman, 36, perasaan cemburu perlu berpada-pada dalam perhubungan suami isteri kerana apabila keterlaluan boleh mengundang masalah yang lebih besar.

Katanya, setiap pasangan perlu sentiasa memahami antara satu sama lain dan meletakkan kepercayaan dalam hubungan bagi mengelakkan perbalahan.

“Cemburu tidak salah kerana ia menunjukkan pasangan ambil berat dan mencintai diri kita, tapi jangan sampai perasaan cemburu itu menghantui hidup dan menjejaskan tugas seharian.

“Misalnya, hati sentiasa memikirkan yang buruk-buruk pasal pasangan hingga rasa tertekan. Seeloknya, kalau ada perasaan curiga atau syak wasangka, bincangkan baik-baik dengan pasangan,” katanya.

Bagi Anis Mohd Ridzwan, 42, perasaan cemburu yang timbul dalam satu perhubungan perlu bersebab dan tidak boleh keterlaluan hingga tahap mengongkong kerana lambat laun boleh menyebabkan pasangan berasa bosan dan lebih teruk hubungan musnah kerana perasaan cemburu.

ANIS
ANIS

Katanya, perlu wujudkan keseimbangan antara kepercayaan terhadap pasangan bagi melahirkan hubungan yang positif. Kejujuran juga penting dalam hubungan dan saling berkongsi rasa untuk mengetahui apa yang pasangan mahu daripada kita.

“Saya dan suami sentiasa menjadikan komunikasi positif dan gurau senda untuk memastikan hubungan kami aman dan menyeronokkan. Adatlah jika bergaduh kecil, tapi kami pastikan mengambil masa bertenang dan kemudian baru meluahkan perasaan daripada hati ke hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 5:30 AM