SUAI padan gaya dengan lilitan tali pinggang boleh menonjolkan gaya santai.
SUAI padan gaya dengan lilitan tali pinggang boleh menonjolkan gaya santai.
Hafiz Ithnin

TALI pinggang antara yang sering menjadi elemen penting dalam pemakaian kerana ia bukan sekadar mampu menjadi fungsi pengetat pinggang kerana saiz seluar atau skirt yang tertalu longgar.

Malah, sebenarnya tali pinggang juga boleh menjadi aksesori dalam pemakaian kerana ia juga boleh menonjolkan gaya kekemasan dan membentuk identiti pemakaian kepada si pemakai.

Penganalisis Fesyen, Profesor Dr Zuhaili Akmal Ismail berkata, terdapat beberapa jenis tali pinggang yang biasa dipakai wanita dan lelaki seperti d-ring, tali pinggang nipis, koset atau obi iaitu seperti tali bulatan di pinggang kimono.

Jelasnya, pemakaian tali pinggang juga sudah tidak lagi mengikut 'format' tertentu kerana ia boleh dipadankan dengan gaya yang diinginkan si pemakai.

"Jika kita bercakap mengenai cara pemakaian tali pinggang, ia tidak semestinya berada dalam keaadaan klasik seperti penghujung tali disisipkan dalam ruang tali pinggang seluar atau skirt.

GAYA penghujung tali pinggang yang dilepaskan juga menarik untuk aplikasi dalam aktiviti santai.
GAYA penghujung tali pinggang yang dilepaskan juga menarik untuk aplikasi dalam aktiviti santai.

"Terdapat juga gaya yang tampak unik dan bersahaja apabila hujung tali pinggang itu terjuntai dan tidak disisipkan di tempat yang disediakan di seluar atau skirt," katanya.

Jelasnya lagi, pemakaian tali pinggang boleh dibahagikan kepada dua sama ada untuk digayakan secara formal atau santai.

"Bagi penggayaan secara formal, biasanya penghujung tali pinggang akan disisip kemas di ruangnya dan ia tidak terlalu panjang. Lebih kemas jika penghujung tali itu tidak melepasi sisipan kedua ruang tali pinggang.

"Selain itu, kepala tali pinggang juga untuk pemakaian formal ke pejabat misalnya tidak terlalu besar dan mempunyai corak yang begitu ranggi," katanya.

Tambahnya, pemakaian tali pinggang secara santai sebenarnya tiada format tertentu kerana ketika ini ia sudah boleh digayakan dengan pelbagai cara.

"Apabila memakai tali pinggang dalam suasana santai, kita tidak terikat dengan cara yang serius, tetapi mengutamakan kesesuaiannya bergabung dengan konsep pakaian yang lain supaya tidak nampak pelik.

"Dalam gaya santai kita boleh memakai kepala tali pinggang yang mempunyai saiz lebih besar kerana ia menjadi aksesori yang menarik untuk ditonjolkan," katanya.

TALI pinggang boleh menjadikan seseorang itu tampak kemas dalam pemakaian.
TALI pinggang boleh menjadikan seseorang itu tampak kemas dalam pemakaian.

Dr Zuhaili bekata, jika memakai tali pinggang yang menonjol, aksesori yang lain seperti rantai leher dan anting-anting disarankan tidak terlalu sarat.

"Tali pinggang ini mempunyai fungsi sebagai aksesori yang menjadi titik fokal dalam penggayaan. Jika terlalu sarat aksesori di badan, ia akan kelihatan tidak begitu menarik. Namun, terpulang kepada si pemakai.

"Selain itu, jangan sorokkan tali pinggang kerana ia adalah aksesori yang menarik dan mampu menunjukkan identiti si pemakai yang gemarkan kekemasan," katanya.

Justeru, beliau berkongsikan pemakaian tali pinggang dengan busana yang mungkin boleh menjadi pilihan anda:

1. Bentuk badan epal

Elakkan memakai tali pinggang tebal yang akan menarik perhatian bahagian tengah anda. Pilih tali pinggang berwarna nipis dan gelap untuk mengalih perhatian dari bahagian tengah.

2. Bentuk badan pear

Untuk menyembunyikan pinggang yang lebar dan perut yang mungkin menonjol, pemakaian tali pinggang lebar dengan kedudukan yang lebih tinggi akan memberi ilusi badan yang langsing.

Pemakaian begini akan menyeimbangkan bahagian atas tubuh dengan bahagian bawah tubuh.

3. Bentuk badan segi empat

'Layering is the key!' Anda boleh lapiskan pakaian anda dengan cardigan atau jaket terbuka disuai padan dengan tali pinggang untuk memberikan gaya tersendiri. Fabrik yang lembut akan membantu untuk ekspresi gaya yang stailo.

4. Bentuk badan segi tiga terbalik

Pemakaian tali pinggang warna senada dengan baju berfungsi untuk membentuk siluet yang elegan kepada bentuk badan anda.

Pilih kolar baju yang luas untuk mengalih perhatian dari bahagian atas anda yang lebih lebar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 6:30 AM