GABUNGAN flora dan jaket abstrak boleh tampak serasi jika bijak dipadankan.
GABUNGAN flora dan jaket abstrak boleh tampak serasi jika bijak dipadankan.
Hafiz Ithnin


Dalam arus fesyen, seni tekstil sememangnya penuh warna warni mengikut kehendak si pemakainya.

Pada masa yang sama ia juga menjadi elemen eksperimen bagi mereka yang gemar mengikuti arus fesyen.

Tekstil bercorak bunga juga tidak terkecuali dan mempunyai peminatnya tersendiri kerana ia mampu menonjolkan identiti si pemakai.

Penganalisis Fesyen, Faizal Hamid berkata, untuk musim ini, reka corak flora berkembang mekar dalam koleksi rekaan pereka antarabangsa.

Jelasnya, variasi cetakan flora ini muncul pada padanan seluar, legging, skirt, gaun, blaus atau top, jaket dan aksesori.

"Dapatkan reka corak flora dalam rona terang dan berani atau dalam rona lembut (pastel). Anda harus berani bereksperimentasi dengan variasi saiz flora atau kombinasi padanan menarik seperti reka corak flora dan jalur dalam rona yang sama, untuk lebih menyerlah, segar serta penuh impak.

"Lengkapkan gaya anda itu dengan kasut dalam rona neutral atau metalik. Sememangnya cetakan flora memberi nafas terkini, santai, feminin, menarik dan hebat digayakan sesiapa saja," katanya.

Jelasnya, paling penting ialah yakin dan tahu bagaimana untuk mengintegrasikan trend itu dalam gaya seharian kita. Justeru, Faizal kongsikan panduan mengayakan reka corak flora:

1. Jika kita tidak mahu memakai reka corak flora yang penuh, sebagai alternatif gayakan padanan pakaian (contoh, blaus atau skirt) dengan hanya satu motif flora yang besar sebagai 'statement piece.' Gaya ini cukup kontemporari sealiran trend.

2. Pilih padanan pakaian yang ada reka corak flora dengan bijak untuk mengalihkan pandangan daripada bahagian tubuh yang tidak mahu diberi penekanan. Contoh, jika anda mempunyai dada yang besar (bigger bust), alihkan pandangan dari bahagian atas ke bawah pinggang dengan padanan baju rona polos dan skirt (singkat atau labuh) yang mempunyai reka corak flora. Begitu juga sebaliknya, jika anda mempunyai punggung yang lebar pastikan seluar atau skirt dalam rona polos dipadankan dengan blaus atau top reka corak flora.

3.Bagi mendapatkan gaya keseluruhan yang sederhana, gayakan cetakan flora yang tidak keterlaluan. Pilih rona yang paling sesuai dengan warna kulit untuk pastikan anda lebih yakin dengan tata gaya keseluruhan.

ANTARA gaya jalanan dan feminin yang menarik bertemakan flora.
ANTARA gaya jalanan dan feminin yang menarik bertemakan flora.

4. Jika anda masih kurang yakin untuk menggayakan pakaian dalam cetakan flora, apa kata anda dapatkan aksesori yang didatangkan dengan trend itu seperti skaf, beg atau kasut dengan reka corak flora. Sememangnya aksesori ini dapat menyuntik elemen segar dan ceria dalam penampilan.

Contohnya, padankan seluar hitam, slim-cut jeans atau skirt rona polos dengan kasut reka corak flora iaitu gaun koktel rona polos pula cukup menarik digayakan dengan clutch dengan cetakan flora untuk gaya formal atau semi formal, atau padankan dengan beg tote untuk gaya santai.

5. Untuk gaya edgy, pilih reka corak flora saiz besar dalam rona gelap. Mantapkan gaya anda dengan padanan aksesori unik dan jaket kulit, atau untuk kelainan padankan legging dengan cetakan flora bersama tunik hitam. Praktikkan konsep suai padan untuk mendapatkan gaya anda yang tersendiri.

Antara alternatif, untuk gaya rugged dengan sedikit elemen maskulin, gayakan gaun flora anda sama ada dengan jaket denim, jaket biker , vest atau anorak.

6. Jika koleksi pakaian anda penuh dengan rona polos terutamanya dalam variasi warna gelap, tambahan pakaian dengan cetakan flora adalah kunci untuk menjadikan penampilan lebih menarik, mengujakan serta dapat menyuntik personaliti ceria pada gaya anda.

Contohnya, blaus flora cukup sempurna digabungkan sama ada dengan sut atau cardigan dan jeans. Untuk gaya lebih kewanitaan, gayakan skirt pensil dalam fabrik satin kapas dengan reka corak flora yang dipadankan dengan kemeja-T dan blazer dari fabrik kapas dalam rona polos. Gaya ini cukup 'chic,' bergaya serta boleh digayakan dalam cuaca seperti negara kita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:45 AM