MEMAKAI pakaian berlapis boleh menjadikan diri wanita petite semakin tidak menonjol.
MEMAKAI pakaian berlapis boleh menjadikan diri wanita petite semakin tidak menonjol.
Hafiz Ithnin

JIKA mempunyai ketinggian 162 sentimeter (sm) ke bawah anda dikategorikan sebagai wanita ‘petite’ oleh industri.

Jika dulu banyak gaya wanita petite mungkin terhad, tetapi kini tiada lagi manual undang-undang dalam gaya fesyen wanita ‘petite’ yang terlalu mengikut aliran.

Perunding fesyen, Faizal Hamid berkata, pakaian selalunya menentukan kesempurnaan ‘fitting’ pakaian yang digayakan. Wanita ‘petite’ perlu memilih rekaan pakaian yang mengikut bentuk badan (fitted) atau ‘semi-fitted’. Elakkan pakaian yang longgar dan terlalu ketat.

“Pakaian kalau boleh biar yang ditempah mengikut ukuran badan anda. Elak pakaian yang terlalu besar, potongan ‘boxy’, banyak lipatan dan menggunakan banyak fabrik kerana ia menenggelamkan badan yang kecil.

“Pilih rekaan pakaian yang dapat menyerlahkan bentuk tubuh badan dan selain memberikan ilusi ketinggian iaitu pakaian dengan reka corak jalur menegak dan dalam rona monokromatik, katanya.

Katanya, memilih aksesori dengan teliti juga penting kerana wanita kecil molek nampak semak dan kurang selesa dengan aksesori yang terlalu besar.

“Jika pakaian longgar, beri tumpuan kepada pinggang dengan pemakaian ‘skinny belt’ (tali pinggang bersaiz kecil atau halus).

GADIS petite perlu bijak mengayakan diri untuk tidak nampak canggung dalam berpakaian.
GADIS petite perlu bijak mengayakan diri untuk tidak nampak canggung dalam berpakaian.

"Pada masa sama, jika anda mahu memilih pakaian yang punyai perincian berwarna-warni, pilih perincian yang saiznya lebih kecil dalam rekaan ringkas. Panduan ini juga boleh digunakan jika anda mahu memilih rekaan pakaian yang punyai reka corak atau cetak, katanya.

Pakar itu berkata, memandangkan padanan baju dan seluar ataupun skirt yang betul bagus potongan untuk wanita bersaiz kecil sukar didapati, memakai gaun adalah jalan penyelesaian yang tepat.

“Elak potongan A-line daripada fabrik yang keras dan tegang kerana ia mewujudkan ‘silhouette’ yang tidak menarik. Skirt potongan lurus adalah pilihan yang tepat kerana ia dapat memberikan ilusi ketinggian yang menawan.

“Jika tidak bertudung, rambut potongan ‘close-cropped’ menjadikan kepala anda nampak lebih kecil dan secara tidak langsung memberikan ilusi tubuh lebih panjang. Reka corak motif dan reka corak yang besar boleh menenggelamkan si kecil molek, elakkan motif berpetak, ‘polka dots’ dan jalur, katanya.

Tegasnya, kunci utama dalam penampilan adalah keselesaan untuk memadan sesuatu busana itu pada diri sendiri memandangkan bermula daripada rasa selesa ia dapat mewujudkan aura si pemakai secara automatik.

“Sentiasa ingat, misi anda dalam bergaya dan mencari pakaian sebagai wanita ‘petite’, adalah mencari pakaian yang paling sesuai, menarik serta dapat meyerlahkan lagi bentuk tubuh badan anda.

“Perkara yang lebih penting dalam fesyen dan gaya berpakaian kontemporari adalah menggayakannya dengan penuh keyakinan dan keanggunan dalam apa jua bentuk potongan badan anda," katanya.

PEMAKAIAN aksesori berlebihan menjadikan gadis petite kurang menyerlah.
PEMAKAIAN aksesori berlebihan menjadikan gadis petite kurang menyerlah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:30 AM