SENAMAN meningkatkan otot bantu perlahankan kesan kemerosotan sistem fungsi muskuloskeletal. - FOTO Google
SENAMAN meningkatkan otot bantu perlahankan kesan kemerosotan sistem fungsi muskuloskeletal. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


ISU kesihatan sejagat kerap dibincangkan pada peringkat global bukan lagi membabitkan krisis makanan mahupun kemanusiaan semata-mata.

Sebaliknya topik lebih mendalam berkenaan keperluan mempersiapkan ke arah penduduk dunia semakin tua antara isu dipandang serius termasuk keperluan paliatif dan perkhidmatan penjagaan warga emas.

Tidak terkecuali buat Malaysia sendiri apabila Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya (Social Wellbeing Research Centre) menjangkakan bilangan warga Malaysia yang berusia 60 tahun dan ke atas akan mencapai jumlah 6.3 juta orang pada 2040 atau dua daripada 10 warga Malaysia.

Melihat kepada faktor itu nilai perlu dilihat ketika ini bagi kebanyakan kita adalah kepentingan golongan dewasa di negara ini untuk mengekalkan kesihatan muskuloskeletal dalam mempengaruhi pergerakan, fleksibiliti, keseimbangan dan seterusnya kualiti hidup ketika usia meningkat.

Laporan sama menjangkakan wanita yang mencapai usia 65 tahun pada tahun lalu, dijangka akan hidup 17.8 tahun lebih lama sehingga usia 82 tahun.

Sementara bagi lelaki pula dijangkakan hidup 14.8 tahun lebih lama sehingga usia hampir 80 tahun.

Menurut Pakar Geriatrik dan Pensyarah Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) Dr Nor I'zzati Saedo, kualiti hidup terutama dapat menjalankan rutin seharian bersandarkan kepada tahap kesihatan muskuloskeletal.

"Salah satu faktor utama dalam membolehkan manusia menjalani kehidupan mereka secara bebas ialah bermula dengan membina dan mengekalkan kesihatan tulang, otot serta sendi supaya kekal kuat untuk masa akan datang.

KUALITI hidup warga emas lebih baik apabila dapat lakukan rutin harian tanpa sebarang gangguan pada sendi, otot mahupun tulang.  - FOTO Google
KUALITI hidup warga emas lebih baik apabila dapat lakukan rutin harian tanpa sebarang gangguan pada sendi, otot mahupun tulang. - FOTO Google

"Sistem muskuloskeletal memberikan bentuk, sokongan, kestabilan dan pergerakan untuk badan. Sistem ini terdiri daripada tulang rangka, otot, tulang rawan, tendon, ligamen, sendi dan tisu penghubung lain yang menyokong dan menghubungkan tisu dan organ bersama-sama," katanya.

Namun dalam menjalani rutin hidup yang sibuk, Nor I'zzati berkata, ramai yang mengambil kesempatan di atas usia muda untuk mengabaikan penjagaan sistem tubuh itu sehingga ia menunjukkan gejala kurang sihat.

"Orang dewasa berumur 40-an lazimnya tidak memberi perhatian terhadap kesihatan muskuloskeletal sendiri disebabkan tidak mengalami sebarang tanda seperti sakit akibat kecederaan atau postur yang tidak baik.

"Sistem tubuh terutama muskuloskeletal masih mampu melaksanakan fungsi masing-masing dengan baik. Antaranya kemampuan berjalan memerlukan kekuatan, fleksibiliti dan keseimbangan. Tugas mudah seperti menyuap makanan dan memakai pakaian memerlukan kemampuan pergerakan tangan serta pergelangan tangan.

"Keupayaan untuk mencapai, membongkok dan mencangkung membolehkan seseorang melakukan aktiviti harian seperti berkebun, memasak serta membersihkan lantai," katanya.

Justeru, kesihatan itu membantu individu tadi dapat melakukan semua tanpa sebarang pertolongan terutama ketika mencapai usia 60 dan ke atas.

Ini membuktikan mereka menjalani ciri-ciri penjagaan baik manakala bagi sebaliknya akan menghadapi kesukaran, sekali gus menjejaskan emosi apabila menjalani usia makin lanjut.

Meskipun akur dengan hukum alam iaitu penambahan usia bermakna penyusutan tahap fungsi sesetengah sistem dalam tubuh, kata pengamal kiropraktor dan Pengasas Osso Bone Care Chiropractic Calvin Shun pula, setiap individu perlu peka dengan tubuh masing-masing dalam melalui fasa itu dengan baik.

"Perlu faham tulang kita boleh menjadi lemah seawal usia 30-an dan kehilangan sehingga 20 peratus kepadatan tulang apabila usia meningkat dan tulang rawan sendi (bertindak sebagai 'kusyen' antara sendi) dijangka merosot secara ketara pada usia 40-an.

"Fungsi otot mungkin menjadi lemah dengan kehilangan sehingga 29 peratus daripada kekuatannya seiring pertambahan usia," katanya.

RASA sakit bahagian sendi dan otot gejala biasa menunjukkan fungsi sistem muskuloskeletal merosot.  - FOTO Google
RASA sakit bahagian sendi dan otot gejala biasa menunjukkan fungsi sistem muskuloskeletal merosot. - FOTO Google

PERLU jaga postur duduk dan berjalan untuk kurangkan impak fungsi sistem berkenaan merosot.  - FOTO Google
PERLU jaga postur duduk dan berjalan untuk kurangkan impak fungsi sistem berkenaan merosot. - FOTO Google

Tambah beliau lagi, rutin harian termasuk pekerjaan dilakukan boleh memberi implikasi kepada kemerosotan tahap kesihatan muskuloskeletal.

"Masalah muskuloskeletal seperti osteoartritis yang biasanya berlaku pada bahagian lutut boleh mengganggu kemampuan kita untuk menjalankan aktiviti harian yang biasa. Gejala biasa termasuk rasa sakit, kaku dan flesksibiliti yang berkurangan.

"Malah, ia mengurangkan tahap pergerakan dan dalam jangka panjang akan menjejaskan kebebasan serta kemampuan untuk menyertai aktiviti keluarga, sosial dan bekerja, sekali gus kualiti hidup mereka akan terjejas," katanya.

Walaupun tidak dapat menghentikan proses semula jadi itu, Shun menjelaskan ada beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk memperlahankannya.

Saranan mudah dibekalkan ialah teruskan aktiviti senaman terutama dalam pembinaan otot mengekalkan kekuatan tulang.

"Tip mudah ialah pengawalan berat badan yang bermakna memberi bebanan kurang pada otot dan struktur tertentu pada tubuh.

"Selain itu, amalkan tabiat segera merawat kecederaan ringan dan elak gejala sakit atau kaku sedia ada melarat dan menjadi masalah yang lebih besar. Paling penting selalu duduk dan berjalan dengan postur yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 7:00 AM