KERJASAMA SJMC dan MRANTI untuk memanfaatkan teknologi dalam dunia perubatan tempatan.
KERJASAMA SJMC dan MRANTI untuk memanfaatkan teknologi dalam dunia perubatan tempatan.
Hafiz Ithnin


PUSAT Perubatan Subang Jaya (SJMC) memperkenalkan ekosistem penjagaan pesakit jarak jauh, Connected Care yang mengubah penyediaan penjagaan kesihatan dengan perkhidmatan lancar terus ke rumah pesakit.

Perkhidmatan pertama di Malaysia itu penyelesaian inovatif yang memberi penekanan kepada hubungan dan pemantauan jarak jauh oleh profesional penjagaan kesihatan yang dipercayai.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Bryan Lin berkata, ia membolehkan pesakit dan orang yang tersayang mengakses penjagaan kesihatan pada bila-bila masa dan lokasi.

"Seiring dengan komitmen SJMC terhadap inovasi, pusat perubatan itu menjalin kerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology Innovation (MRANTI) dan menyertai Hab HealthTech MRANTI, satu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia bagi memacu kemajuan dalam teknologi penjagaan kesihatan dan memupuk inovasi transformatif dalam penjagaan pesakit.

"Kami mahu mengalihkan tumpuan daripada pesakit kepada individu, daripada penjagaan kesihatan kepada kesihatan menyeluruh dan dari hospital ke rumah," katanya.

Jelasnya, menerusi pelancaran Connected Care, pusat perubatan itu merevolusikan kaedah penyampaian penjagaan kesihatan sekali gus memperkasakan pesakit menerusi akses kepada penjagaan profesional dengan harga berpatutan di kediaman sendiri.

"Penyertaan kami dalam Hab HealthTech MRANTI terus mengukuhkan komitmen untuk menjalin kerjasama dalam usaha membawakan impak yang lebih besar, memacu perkembangan dalam teknologi penjagaan kesihatan serta memupuk inovasi transformatif bagi merangsang industri di masa hadapan. "Connected Care menandakan pencapaian penting dalam komitmen SJMC untuk membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang komprehensif dan menyeluruh. Ekosistem yang inovatif ini diperluaskan susulan perkhidmatan sedia ada SJMC iaitu HomeConnect dan TeleConnect," katanya.

Tambahnya, teknologi itu merangkumi enam bidang penjagaan dengan perkhidmatan terkini, SeniorConnect. Perkhidmatan ini khusus untuk memenuhi keperluan pesakit warga emas berusia 65 tahun dan ke atas yang mungkin tinggal berjauhan dengan orang yang tersayang.

"SeniorConnect, komponen teras bagi Connected Care menawarkan perkhidmatan pemantauan jarak jauh kepada pesakit disesuaikan dengan keperluan unik pesakit warga emas.

"Menerusi perkhidmatan ini, profesional penjagaan kesihatan boleh merekodkan dengan tepat dan memantau tanda-tanda penting individu secara teliti serta menghantar bantuan segera sekiranya diperlukan," katanya.

Sistem pemantauan jarak jauh yang serba maju ini memastikan warga emas menerima penjagaan dan perhatian sewajarnya. Ia akan dapat mempromosikan kesejahteraan dan ketenangan untuk keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 6:54 AM