PIHAK  kerajaan diharap   memperluaskan lagi insentif  bagi kategori rumah mampu milik.
PIHAK kerajaan diharap memperluaskan lagi insentif bagi kategori rumah mampu milik.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Penetapan had jualan rumah sehingga RM300,000 bagi pembeli rumah kali pertama diumumkan kerajaan melalui Pengubahsuaian Bajet 2016 kelmarin dilihat sebagai langkah baik kepada rakyat, namun mengundang pelbagai pendapat dalam kalangan pemain industri.

Kebanyakan daripada mereka menyambut baik langkah diperkenalkan kerajaan secara serta-merta itu, namun masih menilai sama ada langkah itu benar-benar memberi kelebihan kepada golongan pembeli kali pertama atau sebaliknya.

Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Vincent Tiew berkata, langkah itu tidak memberi manfaat kepada pembeli rumah kerana pemaju dijangka membina unit kediaman lebih kecil dan mungkin diabaikan berikutan tidak memiliki potensi pembeli yang besar.

“Saya melihat pemaju berhasrat mencapai tanda harga sehingga RM300,000 itu akan membina rumah di bawah harga itu tanpa perlu menyerap sebarang kos pembinaan kerana terdapat sesetengah daripada mereka melakukan perkara itu ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya pada Bisnes Metro, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, pihaknya turut menghargai usaha kerajaan menetapkan had sehingga RM300,000 bagi pembeli rumah kali pertama dan ia dianggap permulaan agak baik.

“Bagaimanapun, pihak Rehda enggan memberi sebarang ulasan lanjut mengenai langkah ini dan akan melakukan penilaian serta kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya.

Sementara itu, Rehda menyifatkan langkah kerajaan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar faedah empat peratus bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dianggap sebagai berita baik kepada rakyat terutama dalam situasi di mana pembiayaan perumahan menjadi masalah utama dalam kalangan pembeli.

“Saya lihat langkah ini membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah dan berharap pihak kerajaan memperluaskan lagi insentif ini bagi kategori rumah mampu milik kerana ramai individu mendapat manfaat daripada perkara ini,” katanya.

Pada masa sama, langkah kerajaan ini dilihat merancakkan lagi pasaran bagi rumah PPR kerana pada masa ini kebanyakan bank tidak berminat memberikan pembiayaan kepada unit kediaman terbabit.

Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn Bhd, Ishak Ismail pula berkata, situasi itu terjadi berikutan kebanyakan pihak bank melihat ia tidak mendatangkan keuntungan lebih banyak kepada mereka.

“Kebanyakan daripada pembeli rumah PPR terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang lazimnya memiliki hutang banyak. Oleh itu, tawaran ini dijangka membantu mereka memiliki rumah idaman masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:09 AM