Hafiz Ithnin

PropertyGuru International (Malaysia) Sdn Bhd (PropertyGuru) mendapati kediaman dalam segmen mampu milik terus mendapat perhatian pembeli pada tahun ini meskipun keadaan pasaran berada pada kadar mendatar akibat beberapa faktor.

Antara faktor yang menyumbang kepada prestasi mendatar ini adalah peningkatan kos sara hidup dan kesukaran pembeli kediaman mendapat pembiayaan daripada pihak bank yang melaksanakan langkah berhemah.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, pihaknya juga menolak kediaman mampu milik berada dalam situasi lebihan bekalan memandangkan permintaan dalam segmen itu sentiasa ada terutama dalam keadaan pasaran mendatar ketika ini.

Beliau berkata, dari segi cabaran segmen kediaman mampu milik dijangkakan faktor kos pembinaan yang memberi tekanan kepada pemaju dalam keadaan ekonomi yang sukar diramal pada tahun ini serta kesukaran mendapatkan pembiayaan pihak bank.

“Di Malaysia tiada kadar harga penjualan harga rumah mampu milik yang tetap memandangkan terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira bagi memberi tarif sebenar harga berkenaan termasuklah pendapatan isi rumah serta lokasi kediaman itu dibangunkan.

“Namun, bagi sesetengah skim rumah mampu milik, ia ditawarkan pada harga antara RM150,00 hingga RM300,00 bergantung kepada lokasi dan saiz kediaman yang ditawarkan. Menerusi data PropertyGuru, kadar harga rumah mampu milik sepatutnya antara RM300,000 dan RM500,000,” katanya, di sini.

Sementara itu, dari segi pasaran kediaman mewah di Malaysia, pada tahun ini dijangka terus mendapat permintaan daripada pembeli asing yang ingin melabur dalam segmen hartanah tempatan.

Katanya, kemerosotan nilai ringgit memberi kesan yang positif kepada pelabur asing untuk memiliki kediaman di negara ini selain kekurangan pembeli dalam kalangan pembeli tempatan.

Dalam pada itu, Sheldon berkata, berikutan kemerosotan harga pada suku keempat tahun lalu hingga suku pertama 2017, kajian indeksnya bagi pasaran tempatan yang dikenali sebagai Indeks Pasaran PropertyGuru (PMI) menunjukkan harga pasaran mengalami pertumbuhan 0.2 peratus yang juga paras terendah setakat ini.

Katanya, indeks pasaran Kuala Lumpur, Selangor dan Johor pada setiap suku tahun masing-masing mencatatkan kenaikan 0.3 peratus, 0.3 peratus dan 0.7 peratus.

Indeks pasaran hartanah di Pulau Pinang menunjukkan kemerosotan sebanyak 0.7 peratus berikutan penyusutan nilai hartanah dan kekurangan bekalan.

“Berdasarkan kepada rekod tahun ke tahun, Pulau Pinang dan Selangor masing-masing mencatatkan kemerosotan 4.1 peratus dan 2.6 peratus. Kuala Lumpur pula mengalami pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak satu peratus.

“Pasaran Johor pula mencatatkan kenaikan dari tahun ke tahun 5.3 peratus bersandarkan pelbagai pembangunan projek mega di negeri terbabit.

“Pada suku pertama sehingga enam bulan akan datang harga kediaman antara RM300,000 dan RM500,000 mendominasi permintaan 38 peratus dalam analisis yang dilaksanakan PropertyGuru di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 3:10 AM