Kuala Lumpur: Mengehadkan pemilikan rumah berharga sehingga RM300,000 bagi pembeli kali pertama bukan saja mampu merealisasikan impian golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri malah langkah kerajaan itu diibaratkan pendekatan ‘serampang dua mata.’

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mahyuddin Ramli berpendapat selain membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman, langkah itu juga akan dapat mengawal kenaikan harga rumah di pasaran.

“Kita tahu bahawa harga yang disifatkan tidak munasabah selain terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan golongan berpendapatan rendah terus berdepan kesukaran memiliki rumah sendiri.

“Justeru langkah kerajaan melalui Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menetapkan semua penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 adalah terhad kepada pembeli rumah kali pertama saja,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mahyuddin yang juga Timbalan Ketua Kluster Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina Majlis Profesor Negara melihat kebanyakan rumah yang dibina pemaju kini adalah melebihi RM300,000 dan keadaan itu menyukarkan mereka yang berpendapatan rendah serta belum memiliki kediaman membeli aset berkenaan.

“Langkah terbaru kerajaan ini akan menggalakkan lagi pembelian dan pembinaan rumah mampu milik, jadi, tidak timbul isu perumahan baru yang dibina di luar kemampuan golongan sasar.

“Kebanyakan golongan muda yang baru membina keluarga tidak berkemampuan membeli rumah melebihi RM300,000 selain terpaksa bersaing dengan golongan lain jika mahu mendapatkan rumah kos rendah,” katanya.

Menurutnya, pihak penilai hartanah seharusnya tidak meletakkan harga begitu tinggi untuk kediaman jenis sekunder memandangkan ia boleh mempengaruhi harga jualan kediaman baru.

“Untuk memperbetulkan kembali jualan harga rumah ketika ini, penilai hartanah terutamanya perlu meletakkan tanda aras yang baru bagi kediaman sekunder supaya ia tidak akan mempengaruhi kediaman baru,” katanya.

Beliau berkata, harga rumah mampu milik pada ketika ini tidak sesuai dilabelkan sebagai mampu milik memandangkan terdapat tawaran harga melebihi RM450,000 ke atas.

Bagaimanapun, Mahyuddin berkata, Pengubahsuaian Bajet 2016 dengan mengambil kira isu perumahan itu satu tindakan tepat untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Faktor lokasi dan harga tanah yang mahal menjadi penyebab bagi pemaju hartanah meletakkan harga tinggi bagi kediaman yang dilabel sebagai mampu milik dan sesuatu yang tidak munasabah.

“Seharusnya, kediaman mampu milik perlu dijual bermula pada harga RM300,000 memandangkan ia adalah kadar semasa yang boleh dipertimbangkan orang ramai yang berpendapatan pertengahan membelinya berbanding harga RM400,000 ke atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 9:58 AM
HARGA rumah mampu milik ditawar pada harga RM450,000 berada di luar kemampuan ramai.
HARGA rumah mampu milik ditawar pada harga RM450,000 berada di luar kemampuan ramai.