STUDIO atau SoHo biasanya hartanah pelaburan.
STUDIO atau SoHo biasanya hartanah pelaburan.
Nurul Husna Mahmud


DEFINASI mudah untuk memahami rumah mampu milik adalah unit kediaman dengan nilai harga di bawah RM300,000 dan mampu dimiliki isi rumah dari golongan B40 dan M40.

Malah, rumah itu perlu ideal termasuk keluasan sepadan keperluan masyarakat golongan itu yang sudah berkeluarga.

Isu terbesar adalah penawaran kediaman mampu milik ketika ini tidak seimbang dengan permintaan yang dikatakan tinggi bagi bandar utama seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Johor Bahru.

Justeru, melihat kepada prospek penawaran produk lebih banyak bagi segmen mampu milik, terdapat inisiatif memperkenalkan rumah unit kecil seperti studio dan Pejabat Kecil Pejabat Rumah (SoHo) dalam segmen sama.

Dalam isu terbabit, Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Chan Ai Cheng menyarankan supaya klasifikasi berasingan untuk unit kediaman kecil diwujudkan berbanding memperkenalkan ia sebagai produk rumah mampu milik.

"Saya melihat dari sudut pembeli atau klien yang mana kediaman unit kecil seperti studio atau SoHo tidak sepatutnya diletakkan di bawah rumah mampu milik.

"Sebaliknya segmen kediaman jenis ini diletakkan di bawah skim rumah pertama yang mana merujuk pembeli berpotensi adalah bujang atau pasangan muda baharu memulakan hidup.

"Objektifnya adalah memperkasakan milikan rumah dalam kalangan mereka yang tinggal di bandar berbanding menyewa.

"Ini dapat mengelak polemik atau rasa sangsi rakyat mengenai usaha untuk menyediakan kediaman selesa dan sesuai dengan bajet mereka," katanya.

Tambah Chan lagi, idea utama mampu milik ialah pembeli tinggal sendiri berbanding menjadikannya sebagai satu bentuk pelaburan.

SOHO dan studio antara kategori rumah ditawarkan dalam mampu milik.
SOHO dan studio antara kategori rumah ditawarkan dalam mampu milik.

KELUASAN ideal bagi rumah mampu milik adalah kediaman bagi pemilik bersama keluarga.
KELUASAN ideal bagi rumah mampu milik adalah kediaman bagi pemilik bersama keluarga.

"Jika keperluan rumah mampu milik diukur rasionalnya dengan demografik pembeli dari golongan berkeluarga dengan kediaman pada harga ketika ini ialah di bawah RM300,000.

"Takrifan itu berbeza mengikut kawasan kerana terdapat jurang pendapatan isi rumah. Pendapatan isi rumah penduduk di Kuala Lumpur berbeza dengan penduduk di Ipoh, Perak.

"Penetapan atau harga 'siling' rumah mampu milik antara cabaran terutama kerajaan dalam mencari nilai yang wajar.

"Opsyen memperkenalkan unit kediaman kecil seperti SoHo dan studio satu inisiatif boleh dipuji, tetapi terdapat kesan daripada tindakan itu.

"Walaupun nilai unit itu sepadan dengan takrifan rumah mampu milik di bawah RM300,000, tetapi keluasan tidak mencerminkan rumah itu dalam kategori sama," katanya.

Atas faktor itu objektif pasaran bagi segmen unit kediaman dilihat selalunya menyasarkan untuk tujuan pelaburan berlainan dengan dasar rumah mampu milik untuk kegunaan sendiri.

"Kerajaan perlu terus komited menawarkan kediaman mampu milik kepada rakyat dan insentif bagi mengurangkan beban rakyat terutama golongan B40 perlu diteruskan.

"Kediaman antara segmen paling rancak walaupun terkena 'tempias' berdasarkan laporan suku pertama pasaran hartanah mendapati 60 peratus jualan hartanah daripada 89,179 transaksi membabitkan kediaman dengan nilai RM20.87 bilion.

"Lebih 4,000 unit produk baharu dilancarkan, hampir 2,000 unit terjual menunjukkan pasaran hartanah masih kompetitif dan penawaran produk mampu milik dilihat memiliki potensi besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 7:00 AM