PELBAGAI aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung.
PELBAGAI aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KARNIVAL K-Wonderland anjuran IJM Land memeriahkan pelancaran hartanah dan pratonton unit pameran Daffodil Residency di Puncak Alam, Selangor.

Malah, karnival menarik yang dianjurkan bersebelahan Suria Square itu menggabungkan tradisi Korea dengan kehidupan moden, sekali gus menawarkan pengalaman menyeronokkan kepada pengunjung.

Fenomena budaya Korea melangkaui sempadan dan diminati segenap lapisan masyarakat.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung antaranya gerai video 360 yang dihiasi dengan kostum dan latar belakang Korea yang menawarkan perjalanan mempesona ke dunia K-Drama.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengabdikan kenangan di gerbang foto kasih sayang, dinding kincir angin pelangi dan replika berskala kecil Menara Namsan.

Pengunjung juga dihidangkan dengan pilihan trak makanan KyoChon dan KAIICE yang menawarkan pelbagai hidangan Korea, termasuk set popular dosirak dan ais kisar menyegarkan berperisa seperti mangga dan strawberi.

Bengkel khas untuk kanak-kanak turut dianjurkan bagi memberi peluang kepada mereka meneroka hasil kraftangan Korea seperti gendang dan origami hanbok.

MENERAPKAN konsep pengudaraan terbuka untuk suasana lebih selesa.
MENERAPKAN konsep pengudaraan terbuka untuk suasana lebih selesa.

Pengunjung cilik juga berpeluang bermain di istana belon, menikmati bertih jagung dan gula-gula kapas, melihat aksi badut menghasilkan arca belon dan mengasah kemahiran koordinasi di stesen permainan tuho dengan melempar anak panah getah dalam pasu tradisional Korea.

Selain itu, gerai amal Projek CafÈ Autism juga disediakan sebagai sokongan untuk belia yang menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD).

Dalam pada itu, dengan mengetengahkan pesona tersendiri, projek perumahan terbabit merangkumkan intipati kehidupan moden, aspek yang sukar ditolak pemilik rumah kali pertama kerana mereka kebiasaannya mahukan komuniti berkembang pesat.

Terletak di Bandar Puncak Alam, Selangor, perumahan baharu itu menawarkan tempat istirahat tenang berhampiran taman seluas kira-kira 4.45 hektar

Ia menerapkan konsep pengudaraan terbuka, bagi memastikan pengalaman kehidupan selesa, selain dapat memupuk hubungan yang damai dengan alam semula jadi.

Selain itu, projek perumahan berkenaan juga terletak berhampiran hab komersial Suria Square di Bandar Alam Suria, pilihan ideal terutama untuk pemilik rumah kali pertama.

Diilhamkan daripada bunga Daffodil yang melambangkan belas kasihan, ekspresi artistik, kebebasan dan kasih sayang, kediaman itu menggabungkan reka bentuk lestari dan amalan yang mementingkan alam sekitar, termasuk ruang pengecasan kenderaan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:31 AM