ANIS Hafiza berada di sebuah rumah miliknya.
ANIS Hafiza berada di sebuah rumah miliknya.
Muhamaad Razis Ismail


PADA usianya baru mencecah 24 tahun, wanita ini sudah memiliki sebuah rumah kos sederhana di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Siapa sangka bermula daripada membeli rumah sebagai aset sebelum mendirikan rumah tangga, kini Anis Hafiza Ali, 37, dan suami sudah memiliki enam rumah di sekitar Selangor.

Biarpun memiliki pendapatan tetap sebagai penjawat awam, namun ibu tiga anak ini berjaya membuktikan dengan ilmu hartanah dan pengurusan kewangan yang betul, tiada yang mustahil untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang pelaburan hartanah.

Anis berkata, rumah pertama dibeli pada 2010 di Shah Alam atas kesedaran untuk memiliki aset sendiri berdasarkan pengalaman melihat kesusahan ibunya membesarkan mereka tiga beradik ketika masih kecil sehingga mampu memiliki hartanah sendiri.

Katanya, rumah sekunder (subsale) itu dibeli pada RM98,000 selepas mengambil kira lokasi yang terletak berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Selepas mendapat kunci, saya terus mengecat, memasang kipas siling, menyediakan peti sejuk dan mesin basuh untuk keselesaan bakal penyewa. Kemudian rumah itu saya sewakan kepada penuntut UiTM.

"Dengan ansuran bulanan kira-kira RM463 (sebulan) pada ketika itu, saya tidak perlu menggunakan gaji kerana ia ditampung sewa bulanan berjumlah RM750. Lebihan sewa bulanan saya gunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

"Kini harga pasaran rumah itu sudah mencecah RM280,000," katanya.

Menurutnya, selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, dia dan suami membeli sebuah lagi rumah jenis apartmen 'subsale' berkeluasan 730 kaki persegi di Puchong.

"Rumah ini dibeli dengan menggunakan duit yang dikeluarkan daripada akaun Kumpulan Wang simpanan Pekerja (KWSP) suami, sedikit daripada saya dan meminjam daripada bapa saudara untuk menampung deposit rumah. Rumah ini diletakkan atas nama suami.

ANIS Hafiza bersama ahli keluarga di rumah yang dibeli pada 2021.
ANIS Hafiza bersama ahli keluarga di rumah yang dibeli pada 2021.

"Menariknya mengenai rumah ini, baru sehari mendapat kunci, keesokan hari penyewa sudah masuk dengan kadar sewa RM650," katanya.

Akuinya, pembelian rumah pertama hingga ketiga dibeli tanpa ilmu pelaburan hartanah. Melihat potensi pelaburan hartanah, dia mengambil keputusan menghadiri kelas hartanah bagi menambah ilmu dalam bidang itu.

"Melalui kelas yang dikendalikan itu, saya dapat pelajari banyak ilmu baharu berkaitan hartanah khususnya pengurusan kewangan dan pelaburan hartanah.

"Untuk rumah berikutnya, saya praktikkan ilmu hartanah yang dipelajari termasuk membuat kajian harga pasaran unit yang bakal dibeli dan memilih lokasi strategik yang matang," katanya.

Tambahnya, kini dia dan suami sudah memiliki enam rumah termasuk yang terakhir sebuah rumah teres baharu dibeli di Dengkil, Selangor pada 2021 untuk diduduki.

"Sepanjang terbabit dalam pelaburan hartanah, saya dan suami membeli lapan rumah dan dua daripadanya sudah dijual ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan selepas kerajaan memberi pengecualian cukai keuntungan harta tanah (RPGT).

"Kini semua rumah yang saya dan suami sewakan mampu menghasilkan aliran tunai positif. Malah, pada masa sama saya mampu menjana pendapatan pasif untuk menampung keperluan keluarga dan membayar ansuran bulanan rumah keenam," katanya.

Dia mengakui, ada segelintir pihak yang meragui kemampuannya memiliki banyak rumah selain menuduhnya mengambil hak orang lain yang kurang berkemampuan.

"Ramai yang masih salah faham dan tidak tahu bahawa kebanyakan rumah yang saya beli adalah rumah 'subsale' kos sederhana dan dibeli di pasaran lelong mengikut undang-undang yang ditetapkan. Jadi, tidak timbul isu saya mengambil hak orang.

"Untuk memiliki semua rumah ini, saya mengaplikasikan strategi menguruskan kewangan dan dokumentasi dengan betul. Saya juga perlu kreatif mencari modal (dari sumber yang sah) untuk membeli rumah," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia tidak menolak kemungkinan akan membeli sebuah lagi rumah sebagai aset sebelum berusia 45 tahun.

"Pada masa ini saya fokus untuk menyelesaikan ansuran bank dan pinjaman peribadi yang ditampung melalui duit sewaan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 6:20 AM