NORSURAYA membuat keputusan membeli rumah di Muar atas saranan keluarga.
NORSURAYA membuat keputusan membeli rumah di Muar atas saranan keluarga.
Nurul Husna Mahmud


KONSISTEN menabung selama empat tahun dan menggandakan tabungan dengan pelaburan memberi pulangan stabil antara langkah diambil Norsuraya Abdul Jabbar sebagai persiapan memiliki rumah pertama.

Menurut penjawat awam berusia 35 tahun itu, persiapan memiliki kewangan sihat sangat penting dalam pemilikan rumah pertama yang diperoleh selepas empat tahun bekerja.

"Kesedaran memiliki rumah melangkaui ilmu hartanah yang ada ketika itu atas kehendak sendiri.

"Niat hendak beli rumah atas tujuan pelaburan yang mana saya sasarkan rumah sekunder (sub sale) terutama di kawasan yang memiliki permintaan tinggi.

"Tetapi orang tua tidak setuju kerana saya kerja merantau di Pulau Pinang dan keputusan beralih membeli hartanah membabitkan projek rumah baru di Muar, Johor pula," katanya.

Kata Norsuraya, dengan kelayakan pembiayaan melepasi paras RM250 ribu, dia memilih kediaman 'bertanah' kerana kenaikan nilai hartanah segmen itu lebih cepat berbanding rumah bertingkat.

"Saya ambil risiko iaitu membeli kediaman lebih selesa seperti jenis Semi-D dan memiliki sedikit laman kerana berpendapat nilai pasaran lebih cepat.

"Saya dimaklumkan pemaju harga rumah meningkat 20 peratus selepas enam bulan dibeli dan tidak mustahil jumlah itu boleh melonjak lagi dengan prasarana dibangunkan selepas beberapa tahun rumah itu siap.

"Ketika saya beli, sudah ada Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ). Ia menghubungkan Jasin dan Muar serta sekolah pula tidak jauh dari lokasi taman perumahan.

"Faktor kedudukan strategik dan keluasan rumah itu sendiri menjadi penarik untuk saya membeli hartanah terbabit," katanya.

Menyedari gaji ketika awal bekerja masih rendah dan tidak menjadi penghalang kepada Norsuraya membuat simpanan secara konsisten setiap bulan.

"Apabila saya fokus mahu mendapatkan hartanah sebagai aset pertama, saya pastikan diri bebas daripada sebarang komitmen.

"Maknanya saya tidak membuat sebarang permohonan pembiayaan selain tujuan membeli hartanah.

"Itu kelebihan terutama kepada penjawat awam yang mahu menggunakan pembiayaan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Saya ditawarkan kadar pinjaman 100 peratus.

"Sekiranya saya mengambil keputusan untuk membuat pinjaman bank, saya perlu sediakan deposit rumah. Sekurang-kurangnya saya perlu ada RM25,000.   "Jika berada dalam keadaan itu, saya melihat simpanan emas boleh membantu melunaskan deposit rumah.

"Sebagai contoh jika nilai deposit RM25,000, saya perlu menyimpan sekurang-kurangnya 178 gram kerana harga pada 2014 adalah RM140 segram.

"Bayangkan nilai sekarang saya hanya memerlukan 93 gram sahaja dan itu menunjukkan emas antara pelaburan boleh membantu," katanya.

Kata Norsuraya lagi, dia yang mendapat pembiayaan penuh kerana skim rumah pertama dan gred gaji layak masih memperuntukkan simpanan itu hanya digunakan untuk keperluan rumah.

"Saya tidak berkesempatan tinggal di rumah itu lagi sejak ia siap pada tahun 2016 kerana bekerja luar dari Muar. Hanya sempat singgah dan melawat beberapa kali.

"Boleh saya katakan hampir empat tahun dibiarkan kosong sehinggalah pandemik Covid-19 saya buka tawaran untuk disewa bagi menampung ansuran bulanan kepada bank

"Simpanan rumah penting untuk saya gunakan untuk keperluan rumah termasuklah membeli perabot dan barangan elektrik untuk penyewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 6:45 AM