GUNA lebihan ‘kuota’ pembiayaan sebagai strategi miliki kediaman kedua.
GUNA lebihan ‘kuota’ pembiayaan sebagai strategi miliki kediaman kedua.
Hafiz Ithnin


"JANGAN maksimumkan kuota pembiayaan pembelian rumah kerana ia mampu memberi kesan yang baik kepada pengurusan kewangan," kata Rohaida Ahmad, 37.

Ternyata pembiayaan pembelian rumah pertama dia dan suami, Khairul Anwar Halim yang tidak mencecah kuota maksimum pembiayaan membuahkan hasil apabila mereka mampu membeli rumah kedua dalam tempoh tiga tahun selepas membeli rumah pertama pada 2017.

Rohaida berkata, dia dan suami amat menitikberatkan pengurusan kewangan serta memastikan rumah dibeli mempunyai nilai hartanah yang baik untuk pelaburan pada jangka panjang.

"Saya dan suami membeli rumah pertama pada 2017 dengan harga RM354,000 iaitu rumah jenis teres dua tingkat bersaiz sekitar 1,550 kaki persegi dan ia dijadikan sebagai rumah untuk dihuni.

"Kemudian pada tahun ketiga kami membeli rumah kedua pada RM250,00 iaitu rumah teres dua tingkat juga dalam segmen rumah sekunder. Rumah ini dijadikan sebagai pelaburan untuk disewakan," katanya.

Rohaida berkata, dia dan suami juga tidak tergesa-gesa untuk melakukan kerja pengubahsuaian dan dekorasi rumah pertama kerana menyedari bahawa mengukuhkan kewangan keluarga lebih menjadi keutamaan.

PENCAHAYAAN semula jadi menjadi pilihan pembelian rumah Khairul dan Rohaida.
PENCAHAYAAN semula jadi menjadi pilihan pembelian rumah Khairul dan Rohaida.

"Sebaik sahaja berpindah dan untuk beberapa tempoh juga kami hanya tidur beralaskan 'toto' kerana berasakan perlu mengutamakan perkara lebih penting seperti ciri-ciri keselamatan rumah.

"Manakala kerja dekorasi pula bagi kami boleh dilakukan secara berperingkat dan ia dibeli sedikit demi sedikit setiap bulan sehingga lengkap semuanya," katanya.

Tambahnya, dia dan suami juga menjadikan keuntungan daripada sewaan rumah kedua yang dibelinya sebagai modal untuk melakukan kerja pengubahsuaian secara berperingkat.

"Rumah kedua itu kami sewakan mengikut bilik yang lengkap. Jadi, tawaran harga boleh dinaikkan sedikit berbanding bilik yang kosong untuk penyewa.

"Menerusi strategi itu, kami mendapat keuntungan hasil menyewakan bilik yang lengkap dan sentiasa mendapat permintaan," katanya.

Meskipun membeli rumah selepas berusia 30 tahun dilihat sedikit lewat, namun pasangan itu tidak menyesal. Apatah lagi tidak rasa tertekan apabila melihat rakan-rakan seusia memiliki rumah peribadi sebelum mencecah usia 30 tahun.

Katanya, dalam tempoh beberapa tahun selepas berkahwin dia dan suami hanya menyewa kerana tuntutan tugasan suami yang bekerja di pelbagai negeri.

DEKORASI ringkas, tetapi tampak mewah.
DEKORASI ringkas, tetapi tampak mewah.

"Saya dan suami berasal dari Kedah. Beberapa tahun kami berpindah ke Sabah. Ketika itu, keinginan membeli rumah ada, tetapi melihat kepada tuntutan kerja suami, kami tidak tergesa-gesa untuk memilikinya sehingga berpindah di Kuantan, Pahang.

"Di Kuantan kami melihat pasaran hartanahnya masih sesuai dengan tahap kewangan keluarga dan terus membeli rumah pertama dan kedua di sini," katanya.

Tambahnya, dia dan suami juga bercadang menjadikan kedua-dua rumah itu sebagai satu aset pelaburan pada masa depan.

"Kami tidak bercadang untuk terus menetap di sini, mungkin dalam tempoh lima tahun apabila harga pasaran baik, rumah ini akan dilaburkan untuk membeli rumah lain.

"Disebabkan itu, saya dan suami tidak melakukan kerja pengubahsuaian secara besar-besaran kerana pada masa depan kami mempunyai perancangan lain untuk memiliki rumah untuk menetap terus," katanya.

Nasihatnya, dalam membeli rumah pastikan mengukur baju di tangan sendiri terutama membabitkan aliran tunai peribadi.

"Jangan mengikut persekitaran yang kadangkala bukan menjadi keperluan terutama dalam dekorasi dan pengubahsuaian.

"Perkara itu boleh dilakukan secara berperingkat. Pastikan mempunyai wang cukup baru kita laksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 10:00 PM