SIME Darby Property.
SIME Darby Property.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) berjaya mencatatkan pengambilan produk industri sehingga 100 peratus selepas dilancarkan.

Ia membabitkan 22 unit di The Twin Factories 2 di Elmina Business Park, Selangor, dan 42 unit Taman Perindustrian Hamilton 1, Nilai, Negeri Sembilan dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM328.58 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, kejayaan ini membuktikan kemampuan syarikat dalam menyediakan produk yang mendapat permintaan.

"Sambutan terhadap produk perindustrian kami yang dilancarkan pada tahun ini amat menggalakkan dengan kadar pengambilan lebih 90 peratus didaftarkan daripada ketiga-tiga pelancaran.

"Sime Darby Property akan terus mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi membangunkan pilihan produk perindustrian dalam pembandaran kami yang menawarkan akses mudah ke lebuh raya utama dan hab logistik serta mengembangkan lagi segmen Perindustrian dan Logistik kami," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, reka bentuk Twin Factories 2 memenuhi kehendak pemilik perniagaan dengan fungsi tiga-dalam-satu yang menampilkan ruang penerimaan tetamu, pejabat serta gudang yang besar.

Azmir berkata, ia adalah penambahan kepada ciri reka bentuk terkemuka industri seperti ruang iklan khusus di bahagian belakang serta lantai mezzanine yang fleksibel.

Sementara itu, Taman Perindustrian Hamilton 1 adalah pilihan yang sesuai bagi perniagaan yang memerlukan pengeluaran serta pergudangan yang cekap di luar Lembah Klang.

Kawasan ini mudah diakses menerusi Lebuhraya Kajang Seremban, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuhraya MEX.

Selain itu, lokasi pembangunan adalah lima kilometer dari Nilai Interchange, 27 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 50 kilometer dari Kuala Lumpur.

Harga bagi produk perindustrian Twin Factories 2 adalah bermula daripada RM4 juta, manakala Taman Perindustrian Hamilton 1 bermula daripada RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 5:28 PM