Fairul Asmaini Mohd Pilus


DISEBALIK keadaan ekonomi yang tidak menentu, pasaran hartanah sekunder (subsale) di negara ini dikatakan mula menunjukkan pertumbuhan stabil dengan pembelian pelabur pada tahun lalu merekodkan jumlah transaksi tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Menurut syarikat data hartanah dalam talian terbesar di Malaysia di bawah PropertyGuru, MyProperty Data sebanyak 81.1 peratus pembelian hartanah kediaman di Lembah Klang pada tahun 2020 lebih tertumpul kepada hartanah sekunder.

Pengarah Urusannya, Joe Hock Thor berkata, pasaran hartanah kediaman sekunder di Malaysia menunjukkan pertumbuhan stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan trend kenaikan itu semakin dipercepat disebabkan kesan pandemik.

Kata Joe, minat keseluruhan terhadap pasaran sekunder meningkat kerana sebilangan pemilik hartanah menjual aset mereka dengan harga yang lebih rendah untuk mengekalkan kecairan.

Ia sekali gus mewujudkan peluang bagi pelabur untuk memperoleh hartanah di bawah nilai pasaran.

"Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah juga mendorong sebilangan pelabur untuk menjual aset-aset sedia ada dan memperoleh keuntungan.

"Hal ini dapat dilihat dari lonjakan jumlah purata penyenaraian sekunder yang dijejaki di PropertyGuru.com.my, yang meningkat sebanyak 21.3 peratus antara tahun 2019 hingga tahun 2021," katanya.

Menurut Joe lagi, kemerosotan ekonomi pada tahun 2020 menyebabkan jumlah transaksi hartanah kediaman di Lembah Klang menurun sebanyak 47.2 peratus.

LEBIH ramai pelabur berbanding pembeli rumah kali pertama dalam transaksi hartanah.
LEBIH ramai pelabur berbanding pembeli rumah kali pertama dalam transaksi hartanah.

Kesannya jelas ketara dalam kalangan pembeli rumah kali pertama, yang merangkumi 55.5 peratus daripada jumlah pembelian hartanah di kawasan berkenaan pada tahun 2019, namun ia menurun kepada 18.9 peratus pada 2020.

"Permintaan hartanah kediaman di kawasan itu kekal kuat dalam kalangan pelabur dengan peningkatan aktiviti pelabur tahun ke tahun (YoY) sebanyak 36.6 peratus dari 2019 hingga tahun 2020.

"Perubahan trend itu mungkin disebabkan oleh pembeli rumah kali pertama lebih berwaspada terhadap situasi semasa memandangkan komplikasi dan cabaran yang dibawa oleh Covid-19.

"Ia mendorong mereka untuk mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' kerana membeli rumah boleh menjadi keputusan kewangan yang cukup besar untuk pembeli segmen ini," katanya.

PERUBAHAN peratusan YoY transaksi hartanah kediaman di Lembah Klang.
PERUBAHAN peratusan YoY transaksi hartanah kediaman di Lembah Klang.

Hal itu turut disokong penemuan dalam tinjauan PropertyGuru's Consumer Sentiment Study H1 2021, yang mendapati bahawa 58 peratus rakyat Malaysia berusia antara 22 hingga 29 tahun (usia kebanyakan pembeli rumah kali pertama) menangguhkan hasrat membeli rumah kepada satu hingga lima tahun kerana kesan pandemik itu terhadap ekonomi, pekerjaan dan pendapatan.

Selain itu, kemerosotan ekonomi tahun lalu turut mempengaruhi jualan kediaman dari pembangunan baru dan subsale di Lembah Klang, masing-masing dengan penurunan YoY sebanyak 64.9 peratus dan 41.1 peratus.

Penurunan yang ketara dalam transaksi pembangunan hartanah baru itu mungkin disebabkan kelewatan pelancaran projek baharu kerana operasi pembinaan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

Pada tahun 2020, pasaran hartanah di Lembah Klang mencatatkan pembelian pembangunan baru terendah sejak lima tahun lepas, dengan penurunan YoY dalam jumlah transaksi dibuat pembeli rumah kali pertama dan pelabur, masing-masing pada 90.6 peratus dan 38 peratus.

Sebaliknya, jumlah transaksi pada tahun 2020 untuk hartanah sekunder adalah yang terendah untuk pembeli rumah kali pertama (penurunan YoY sebanyak 79.4 peratus), tetapi yang tertinggi untuk pelabur (kenaikan YoY sebanyak 9.6 peratus), dalam tempoh lima tahun sama.

Perubahan tingkah laku pembelian itu lebih ketara bagi hartanah atas tanah. Antara tahun 2016 hingga tahun 2019, transaksi hartanah sekunder dan pembangunan baru masing-masing terbahagi sekitar 70 peratus dan 30 peratus .

PASARAN  hartanah sekunder (subsale) di negara ini dikatakan mula menunjukkan pertumbuhan stabil (gambar hiasan).
PASARAN hartanah sekunder (subsale) di negara ini dikatakan mula menunjukkan pertumbuhan stabil (gambar hiasan).

Peratusan itu bagaimanapun berubah kepada 84 peratus dan 16 peratus pada tahun 2020.

Sementara itu, bagi transaksi hartanah bangunan tinggi, pembahagian antara hartanah subsale dan pembangunan baru tetap konsisten, masing-masing sekitar 80 peratus dan 20 peratus sejak lima tahun lalu.

Pandemik Covid-19 sememangnya mempengaruhi pasaran hartanah dan trend pembelian di Malaysia tahun lepas.

Bagi bakal pembeli rumah kali pertama yang mempunyai modal tetapi masih ragu-ragu untuk memiliki rumah, mereka memerlukan lebih banyak dorongan dari pemaju dan kerajaan.

Mengulas lanjut, Joe berkata, untuk membantu memacu industri dan meningkatkan pemilikan rumah, insentif lebih hebat perlu ditawarkan kepada pembeli rumah pertama, sama ada rebat yang lebih menarik dari pemaju atau bantuan dari kerajaan.

Kata Joe, pihaknya gembira dengan keputusan kerajaan baru-baru ini untuk melanjutkan skim pengecualian duti setem kediaman di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga akhir tahun.

PANDEMIK Covid-19 sememangnya  mempengaruhi pasaran hartanah dan trend pembelian di Malaysia tahun lalu (gambar hiasan).
PANDEMIK Covid-19 sememangnya mempengaruhi pasaran hartanah dan trend pembelian di Malaysia tahun lalu (gambar hiasan).

Ia kerana pihaknya percaya skim itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban pembeli rumah, tetapi juga dapat membantu menyokong pemulihan sektor hartanah.

"Di samping itu, pandemik Covid-19 turut mewujudkan peluang bagi pelabur untuk memanfaatkan harga hartanah yang lebih rendah, pelbagai insentif tersedia serta kadar faedah yang rendah buat masa ini bagi pembelian aset berkualiti untuk simpanan masa depan.

"Oleh kerana hartanah sering dianggap sebagai instrumen lindung nilai terhadap inflasi, pelaburan aset-aset ini jelas dapat memberikan keuntungan jangka panjang selaras dengan penstabilan dan pemulihan pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 7:00 AM