RUMAH terutama segmen kos rendah dan mampu milik perlu dasar milikan lebih teliti bagi bantu perkasakan rakyat memiliki hartanah.
RUMAH terutama segmen kos rendah dan mampu milik perlu dasar milikan lebih teliti bagi bantu perkasakan rakyat memiliki hartanah.
Nurul Husna Mahmud


SATU kaji selidik mengenai keupayaan pemilikan rumah dalam kalangan belia di Malaysia mendapati 91 peratus merancang memiliki hartanah kediaman.

Kajian diterbitkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) yang dilakukan kepada 3,444 peserta mendapati lebih separuh merancang membeli hartanah dalam tempoh setahun hingga lima tahun dari sekarang.

Dalam kajian itu juga mendapati pilihan jenis rumah mengikut keutamaan adalah bertingkat seperti kondominium, apartmen studio dan unit rumah kecil pejabat kecil (SOHO), kemudian baru beralih ke rumah jenis teres.

Merujuk senario itu, aset hartanah masih menjadi keutamaan dalam milikan, malah ia dilihat satu pelaburan yang menguntungkan.

Menurut Pensyarah Program Pengurusan Harta Tanah dan Perlelongan Fakulti Perniagaan, IUMW @ UM-Wales, Kuala Lumpur Professor Sr Dr Noor Rosly Hanif, penting sebenarnya bakal pemilik hartanah pelaburan (speculator) mendapat andaian tepat mengenai pembelian aset tepat bagi memberi pulangan baik.

"Spekulasi merujuk kepada jangkaan atau andaian pembeli bagi tujuan pembelian hartanah aset pelaburan meneliti beberapa ciri-ciri penting.

"Lebih utama atau kriteria selalu diletakkan sebagai ciri-ciri baik untuk hartanah kediaman pelaburan ialah kedudukan atau lokasi unit itu yang strategik.

PASARAN hartanah juga ‘sihat’ andai spekulasi ekonomi dan negara stabil.
PASARAN hartanah juga ‘sihat’ andai spekulasi ekonomi dan negara stabil.

"Hartanah bernilai baik untuk pelaburan selalunya terletak dalam pusat bandar, berhampiran tempat menawarkan peluang pekerjaan atau kegiatan aktif ekonomi, tempat tarikan pelancongan dan berdekatan pusat pengajian tinggi.

"Semua jenis hartanah kediaman memiliki prospek pulangan tersendiri baik untuk kediaman kos rendah hingga rumah bernilai tinggi," katanya.

Kata Dr Noor Rosly lagi, hartanah kediaman pelaburan juga bergantung kepada reputasi pemaju dalam kalangan pembeli hartanah.

"Reputasi pemaju juga memberi kesan kepada peningkatan nilai harta tanah. Contohnya Sime Darby memiliki reputasi iaitu membina harta tanah kediaman baik sehingga membentuk kepercayaan pembeli harta tanah.

"Pemaju ini menjadi perhatian 'speculator'dan membeli unit hartanah lebih daripada satu kerana mahu pulangan tinggi dengan cepat.

"Kemungkinan harga pasaran boleh meningkat 30 peratus menjelang tiga tahun selepas dibeli dan begitu caranya pelabur membuat keuntungan cepat," katanya.

Menyentuh faktor lain, kata Dr Noor Rosly, pasaran hartanah juga dipengaruhi kestabilan ekonomi.

"Faktor lain sering dipertimbangkan pelabur atau pembeli hartanah kediaman adalah sentimen yang boleh pengaruh ekonomi negara.

"Sebagai contoh terdekat apabila kerajaan baharu menerima sambutan baik pelabur, ia bermaksud 'pelaburan' masuk.

"Pasaran saham naik dan dijangka ekonomi negara juga meningkat. Pasaran hartanah juga mendapat manfaat apabila pembeli melihat ia sebagai spekulasi harga hartanah juga meningkat.

"Berbanding situasi pandemik Covid-19 atau khabar mengenai kemelesetan ekonomi, pasaran hartanah menjadi suram selain pemilik sedia ada tidak lagi menampung kos kerana tidak dapat menjana pendapatan menerusi aset yang ada.

"Kalau lihat situasi sekarang, hartanah yang banyak ditawarkan adalah pasaran dari hartanah sekunder. Selain jualan terus kepada pembeli, ada pemilik menggunakan platform lelong untuk memastikan hartanah mereka terjual.

"Dalam tempoh setahun pasaran lelong antara paling rancak yang mana memberi penawaran kepada mereka yang memiliki lebihan wang," katanya.

SOHO atau studio antara kategori rumah mendapat permintaan pembeli hartanah terkini.
SOHO atau studio antara kategori rumah mendapat permintaan pembeli hartanah terkini.

Menjelaskan janaan pendapatan pemilik hartanah kediaman bagi pelaburan, kata pakar hartanah itu, biasanya unit itu memberi pulangan dari sewaan atau jualan selepas kenaikan pada nilai hartanah.

"Pelaburan biasanya diperoleh menerusi penyewaan unit dan selain jualan apabila peningkatan harga rumah dalam masa dua tiga tahun.

"Bagi situasi seperti pembelian hartanah untuk pelaburan, ia bergantung pada situasi semasa dan jika keadaan pasaran tidak menentu seperti sekarang tidak disarankan.

"Melainkan mereka yang mempunyai lebihan duit dan mampu membeli secara tunai (rumah lelong). Tetapi, jika memerlukan pembiayaan, kadar kenaikan ketika ini empat kali tidak menguntungkan, malah dirasakan satu risiko untuk pemilik hartanah kediaman bagi pelaburan," katanya.

Tidak hanya itu pakar berkenaan menyarankan kerajaan memperhalusi dasar milikan rumah negara bagi mewujudkan kitaran 'sihat' dalam pasaran hartanah.

"Sebenarnya tidak kira apa juga aset hartanah yang ada di Malaysia memiliki potensi sebagai pelaburan dan sewajarnya kerajaan perlu terus berinisiatif memperkasakan dasar pemilikan rumah untuk rakyat.

"Ini mengelak pasaran hartanah atau pemain industri melihat aset ini satu komoditi menguntungkan sehingga menjejaskan peluang milikan hartanah untuk rakyat atau golongan tidak berkemampuan. Contoh, wujudkan dasar satu unit hartanah untuk satu nama sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 7:01 AM