PERMINTAAN hartanah dijangka pulih secara beransur-ansur.
PERMINTAAN hartanah dijangka pulih secara beransur-ansur.
Hafiz Ithnin


KEDIAMAN bertanah terus menjadi pilihan utama kebanyakan bakal pembeli walaupun berdepan isu kemampuan dan kesulitan kewangan.

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Shylendra Nathan berkata, walaupun pemulihan pasaran dapat dilihat secara perlahan-lahan, sentimen pengguna masih terjejas kesan berlarutan pasca Covid-19.

"Disebabkan kebimbangan terhadap peningkatan inflasi, bakal pembeli rumah lebih berhati-hati, mencari penstabilan semula dan jaminan pekerjaan lebih baik dalam iklim ekonomi semasa.

"Dengan kekurangan insentif kewangan untuk dimanfaatkan, pembeli mungkin teragak-agak untuk meneruskan rancangan pembelian mereka sehingga ekonomi stabil semula," katanya.

Katanya, sentimen pengguna dalam pasaran besar kemungkinan akan bertambah baik seiring dengan pemulihan ekonomi negara yang diharap dapat dilihat pada tahun ini.

KEDIAMAN bertanah pilihan utama pembeli. - Gambar hiasan
KEDIAMAN bertanah pilihan utama pembeli. - Gambar hiasan

"Sementara itu, kami dapati potensi untuk permintaan hartanah mula pulih pada suku akan datang kerana rakyat Malaysia yang berkemampuan akan melihat hartanah sebagai lindung nilai terhadap inflasi.

"Dengan mengambil kira kelebihan nilai tanah, kenaikan harga hartanah bertanah menawarkan margin lebih besar untuk naik nilai modal dalam jangka panjang," katanya.

Melalui Laporan Pasaran Hartanah Malaysia (MPMR) suku kedua 2022, ia mencatatkan peningkatan 1.10 peratus QoQ dan 3.64 peratus YoY dalam Indeks Harga Jualan Hartanah Bertanah.

PEMBELI lebih berhati-hati dalam membeli rumah.
PEMBELI lebih berhati-hati dalam membeli rumah.

Turut direkodkan adalah penurunan sebanyak 1.96 peratus QoQ dalam Indeks Permintaan Jualan Hartanah Bertanah, walaupun mencatatkan peningkatan 5.21 peratus YoY.

Menurut Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2021 Bank Negara Malaysia (BNM), secara keseluruhannya terdapat penambahbaikan nyata dalam sektor ekonomi dan kewangan.

Namun, jumlah tinggi hartanah tidak terjual kekal sebagai isu utama bagi industri perumahan. Laporan menyatakan bahawa lebih 180,000 unit dalam pasaran perumahan masih tidak terjual, mencerminkan isu ketidakmampuan sedia ada yang diburukkan lagi oleh pandemik.

PASARAN hartanah perlu positif bagi mengelakkan isu lambakan projek terbengkai. - Gambar hiasan
PASARAN hartanah perlu positif bagi mengelakkan isu lambakan projek terbengkai. - Gambar hiasan

Katanya, dengan peningkatan inflasi global disebabkan pandemik, pertambahan semula permintaan akan menjejaskan komoditi penting seperti bahan mentah, sekali gus mendorong kenaikan harga.

"Jumlah semasa unit rumah tidak terjual yang tinggi di Malaysia pula boleh menjadi peluang terakhir untuk membeli hartanah sebelum kemungkinan berlakunya kenaikan kos pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 6:30 AM