PEMBELI rumah kali pertama lebih berwaspada terhadap situasi semasa memandangkan komplikasi yang dibawa pandemik Covid-19.
PEMBELI rumah kali pertama lebih berwaspada terhadap situasi semasa memandangkan komplikasi yang dibawa pandemik Covid-19.
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Sebahagian besar hartanah kediaman yang dibeli di Lembah Klang pada tahun lalu dibuat oleh pelabur dengan unit sekunder atau subsale menjadi pilihan utama.

Menurut MyProperty Data, syarikat data hartanah dalam talian terbesar di Malaysia di bawah PropertyGuru, sebanyak 81.1 peratus pembelian hartanah kediaman di Lembah Klang pada tahun lalu dibuat pelabur dengan menumpukan perhatian kepada hartanah subsale.

Pengarah Urusan, MyProperty Data, Joe Hock Thor berkata, pasaran hartanah kediaman subsale di Malaysia menunjukkan pertumbuhan stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan trend kenaikan ini semakin dipercepat oleh kesan pandemik.

"Minat keseluruhan terhadap pasaran sekunder meningkat kerana sebilangan pemilik hartanah menjual aset mereka dengan harga yang lebih rendah untuk mengekalkan kecairan, mewujudkan peluang bagi pelabur untuk memperoleh hartanah di bawah nilai pasaran.

"Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) juga mendorong sebilangan pelabur untuk menjual aset sedia ada dan memperoleh keuntungan. Hal ini dapat dilihat dari lonjakan jumlah purata penyenaraian subsale yang dijejaki di PropertyGuru.com.my yang meningkat 21.3 peratus antara 2019 hingga tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kemerosotan ekonomi pada tahun lalu menyebabkan jumlah transaksi hartanah kediaman di Lembah Klang menurun 47.2 peratus.

"Bagaimanapun, kesannya amat ketara dalam kalangan pembeli rumah kali pertama yang merangkumi 55.5 peratus daripada jumlah pembelian hartanah di kawasan berkenaan pada 2019, namun menurun 18.9 peratus pada tahun lalu," katanya.

Sementara itu, menurutnya, permintaan hartanah kediaman di kawasan itu kekal kuat dalam kalangan pelabur dengan peningkatan aktiviti pelabur tahun ke tahun sebanyak 36.6 peratus dari 2019 hingga tahun lalu.

"Perubahan trend ini mungkin disebabkan oleh pembeli rumah kali pertama lebih berwaspada terhadap situasi semasa memandangkan komplikasi dan cabaran yang dibawa oleh Covid-19.

"Ia mendorong mereka untuk mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' kerana membeli rumah boleh menjadi keputusan kewangan yang cukup besar untuk pembeli segmen ini," katanya.

Katanya, hal ini disokong penemuan dalam PropertyGuru's Consumer Sentiment Study pada separuh pertama tahun ini mendapati 58 peratus rakyat Malaysia berusia 22 hingga 29 tahun menangguhkan hasrat membeli rumah kepada satu hingga lima tahun kerana kesan Covid-19 terhadap ekonomi, pekerjaan dan pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:30 AM