TEKUN menghasilkan kraf tangan.
TEKUN menghasilkan kraf tangan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PENDEKATAN lazim dilakukan kebanyakan orang untuk melupuskan sisa kotak minuman ialah dengan membuangnya di tapak pelupusan sampah.

Ini kerana ia dianggap sisa pepejal yang mengotorkan persekitaran dan mencemarkan alam sekitar.

Namun berbeza dengan mereka yang mempunyai pemikiran di luar kotak dan melihat sisa kotak minuman ini boleh dimanfaatkan serta ditambah nilai menjadi barangan kraf tangan yang cantik.

Apatah lagi produk terhasil itu unik daripada hasil kerja kreatif pelajar berkeperluan khas. Ternyata insan istimewa ini dianugerahkan kelebihan, di sebalik kekurangan dirinya.

Sesiapa yang melihat hasil seni pelajar ini pasti kagum dengan bakat tersembunyi mereka.

Lebih mengagumkan hasil kerja 713 pelajar ini yang menyertai program 'Most OKU Student Making Handcraft Product From Recycle Material' di Muzium Negara, dicatatkan dalam Malaysia Book of Record (MBOR), baru-baru ini.

Pemenang tempat pertama bagi kategori sekolah menengah ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Kuala Lumpur.

Manakala pemenang tempat pertama bagi kategori sekolah rendah ialah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kampung Baharu, Kuala Lumpur.

Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Kuala Lumpur, Nik Mohd Khairul Azuan Othman berkata, kraf tangan dihasilkan pelajarnya dinamakan Jambangan Hati menggunakan 48 kotak minuman bersaiz kecil.

Menurutnya, ada cabarannya untuk menghasilkan produk kraf tangan itu yang mana ia dihasilkan dalam tempoh masa singkat iaitu empat hari.

"Tambahan pula, pelajar yang menyertai pertandingan itu mempunyai masalah pendengaran dan percakapan.

"Setiap arahan dibuat menggunakan bahasa isyarat tangan dan mereka mudah mengikut arahan berkenaan," katanya.

Katanya, dia menyediakan prototaip kelopak bunga dan mereka (pelajar itu) menekap pada kertas kotak minuman serta memotongnya menggunakan gunting.

"Kemudian, potongan kertas ini dijadikan bunga sebelum digubah menjadi jambangan bunga yang cantik.

"Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja tujuh pelajar, walaupun ada kekangan lain apabila sebahagian pelajar terikat dengan latihan olahraga, tetapi mereka memberi komitmen baik," katanya.

Mohd Khairul Azuan berkata, pelajarnya aktif menyertai pertandingan menghasilkan kraf tangan dan sebahagian mereka sering memenangi pertandingan.

"Pihak sekolah memberi galakan pelajar menyertai pertandingan bagi mencungkil dan menyerlahkan bakat mereka,

"Seorang pelajar saya akan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan berada selama sebulan di situ.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Dasar Dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Perpaduan Negara, Ismail Mokhtar berkata, program itu amat bermakna kerana dapat mengurangkan jumlah sampah hendak dilupuskan.

Beliau berkata, untuk menghasilkan satu tan kertas, 17 pokok perlu ditebang.

"Apabila dapat mengumpul 500 kilogram sisa kotak minuman dan dijadikan barangan kraf tangan, maka dapat menyelamatkan 10 pokok.

"Program seperti ini perlu diperbanyakkan kerana dapat menyelamatkan dunia daripada timbunan sisa pepejal," katanya.

Manakala Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A Kasim pula berkata, Majlis Muzium Antarabangsa menetapkan muzium tempat mendidik masyarakat memahami budaya dan adat.

"Dalam hal ini, Muzium Negara bukan sahaja memaparkan sejarah dan budaya, tetapi mengaitkan dengan kehidupan masyarakat termasuk isu semasa, "Ketika Covid-19, Muzium Negara mengambil peranan mengadakan pameran Covid-19 dan penyakit lain. Begitu juga isu lain seperti penyeludupan barangan antik, isu kesihatan dan kehidupan sosial.

"Program ini aktiviti sosial Muzium Negara sempena ulang tahun ke-60 tahun ini. Kita bekerjasama dengan MBOR dan aktiviti itu tercatat dalam MBOR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 7:00 AM