PELAJAR MATA lancar 310 roket air dalam formasi pesawat Boeing 737.
PELAJAR MATA lancar 310 roket air dalam formasi pesawat Boeing 737.
Syah Rul Aswari Abdullah


Kuantan: Sekumpulan pelajar Akademi Latihan Penerbangan Malaysia (MATA) di sini, mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya melancarkan roket air terbanyak dalam satu acara.

Pada program itu semalam, pelajar kolej vokasional itu melancarkan 310 roket berkenaan ke udara di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist.

Ia sekali gus memadamkan rekod MBOR terdahulu membabitkan 209 roket jenis sama oleh pelajar sekolah di Kota Kinabalu, Sabah, pada 15 Mac 2014.

Lebih menarik, acara kali ini membabitkan tapak pelancaran dengan formasi reka bentuk pesawat Boeing 737.

Penyelaras projek, Mohd Hazrin Zainordin berkata, pihaknya mencadangkan idea itu sebagai sebahagian aktiviti kokurikulum pelajar kepada pengurusan kolej tahun lalu.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Vokasional MATA berkata, pihaknya kemudian mula mengatur pelan sebelum merujuk kepada MBOR pada awal tahun ini selepas cadangan itu diluluskan.

“MBOR meminta kita melancarkan 300 roket air atau kira-kira lebih 20 peratus daripada pemegang rekod terdahulu.

“Selepas mengadakan tujuh ujian, kita berjaya melaksanakan projek ini dengan pelancaran 310 roket air menggunakan botol minuman plastik pada hari ini (semalam).

“Uniknya, kita tidak menggunakan pam air tetapi memanfaatkan penggunaan air compressor (pemampat udara) untuk melancarkan semua roket berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas program itu, semalam.

Program itu turut dihadiri dua saksi bebas, Ketua Analisis MBOR, Mohamad Alex Edward dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi MATA Datuk Sulaiman Dahlan.

Mohd Hazrin berkata, pelajar terpaksa hadir ke tapak pelancaran seawal jam 6.30 pagi bagi memastikan semua persiapan mengikut perancangan.

“Kita perlu memastikan tekanan udara ke paip yang disalurkan ke setiap roket yang berisi air itu pada tahap yang betul bagi memastikan ia dapat dilancarkan.

“Meskipun ada satu atau dua roket yang mengalami beberapa masalah kecil... kita dapat melancarkan semua roket berkenaan seperti yang sudah dirancang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 9:02 AM