PANCARAGAM SMK (P) Methodist, Kuantan menjalani latihan sebagai persediaan ke  Festival Muzik Antarabangsa. FOTO ihsan SMK (P) METHODIST
PANCARAGAM SMK (P) Methodist, Kuantan menjalani latihan sebagai persediaan ke  Festival Muzik Antarabangsa. FOTO ihsan SMK (P) METHODIST
Asrol Awang

PANCARAGAM Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist, Kuantan bakal mempersembahkan muzik di Festival Muzik Antarabangsa di Castellon De Plana, Velencia, Sepanyol selama empat hari bermula 28 Mac ini.

Penolong Kanan Kokurikulum sekolah itu, Noorishah Zaidon berkata, 20 pelajar berumur 14 tahun hingga 19 tahun akan mempamerkan kehebatan bermain alat muzik di negara berkenaan.

Setakat ini, katanya, semua pelajar menunjukkan komitmen tinggi mengikuti latihan persembahan muzik berentak tradisional dan moden kerana turut disertai pelbagai negara di seluruh dunia.

“Menerusi sokongan yang diberikan, pancaragam SMK (P) Methodist akan berusaha untuk memberi persembahan yang terbaik kerana penganjur turut mengadakan pertandingan berdasarkan kategori tertentu.

“Kita percaya dengan pengalaman yang ada termasuk pernah menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan negeri mereka dapat melakukan persembahan terbaik.

“Pancaragam ini akan mempamerkan persembahan selama empat hari berturut-turut bermula 28 Mac ini,” katanya di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan pancaragam mendapat jemputan untuk menyertai Festival Muzik Antarabangsa (persembahan dan pertandingan) melalui Kedutaan Malaysia di Sepanyol dan mendapat sokongan Kementerian Pendidikan.

Katanya, festival itu diharap memberi pengalaman berharga kepada pelajar untuk bermain alat muzik dengan lebih baik.

“Sebenarnya, pancaragam ini dianggotai 90 pelajar, atas faktor sumber kewangan yang terhad, hanya 20 pelajar yang dibawa ke Sepanyol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 12:10 PM