Lizam Ridzuan

MODEL serba baharu segmen kereta kompak Peugeot 208 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Peugeot 2008 menerima Anugerah Rekaan Red Dot 2020 untuk kategori 'Rekaan Produk Terbaik' daripada 6,500 pencalonan.

Kedua-dua model ini berjaya menambat juri antarabangsa melalui rekaan luaran yang sporty dan kemasan bermutu tinggi dihasilkan pengeluar kenderaan dari Perancis itu.

Ia anugerah kali ke-6 diterima sekali gus membuktikan 'bahasa' rekaan Peugeot sememangnya diiktiraf dan dua model baharu ini adalah kesinambungan ciri signatur Peugeot yang diperkenalkan sebelum ini.

Untuk model Peugeot 208, dengan pilihan enjin 1.2 liter PureTech Turbo dan 1.5 BlueHDI (Diesel), reka bentuknya tampil sporty dengan garis jelas serta bonet yang panjang.

Ruang dalaman dengan kluster instrumen 3D adalah ciri standard daripada varian Allure dan ke atas serta Peugeot i-Cockpit.

MODEL Peugeot 208 Serba Baharu.
MODEL Peugeot 208 Serba Baharu.

Ia merangkumi roda stereng 'flat' pelbagai fungsi dan skrin sesentuh bersaiz 10-inci.

Model Peugeot 2008 pula menawan juri dengan penampilan lampu nyalaan siang LED menegak yang menjadi elemen utama rekaan terbaharu jenama itu.

Menawarkan enjin sama dengan model 208, pada bahagian belakang, ia mengekalkan ciri rekaan konsisten dari hadapan dengan lampu LED seakan-akan bentuk tiga kuku singa yang menjadi lambang kepada Peugeot.

Selain itu, ruang dalaman dengan kemasan bermutu tinggi termasuk jahitan, lampu suasana LED (GT Line) dan lapisan kulit Alacantara untuk varian GT menjadikan ia lebih premium.

Kedua-dua model itu (208 dan 2008) juga ditawarkan dengan varian elektrik sepenuhnya.

Anugerah Red Dot diperkenalkan 60 tahun lalu. Ia mengiktiraf rekaan yang inovatif melalui kategori rekaan produk, rekaan komunikasi dan rekaan konsep.

Ia dinilai oleh mereka yang pakar dalam bidang berkaitan.

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot diedar secara rasmi oleh Nasim Sdn Bhd yang dilantik oleh PSA Peugeot Citroen pada 2008.

TEKNOLOGI termaju diperkenalkan.
TEKNOLOGI termaju diperkenalkan.

SUV 2008 bergaya.
SUV 2008 bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 7:00 AM