Lizam Ridzuan


PROTON Holdings Bhd (Proton) secara rasmi melancarkan model Proton Iriz dan Persona baharu 2019 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam ini.

Model hatchback dan sedan keluarga segmen-B Proton menerima lebih 300 pembaharuan itu mula dipamerkan kepada umum di Pameran Auto Malaysia yang diadakan baru-baru ini.

Sentuhan kemasan terkini serta ruang dalaman dan teknologi dipertingkatkan adalah yang pertama untuk model Proton hasil kerjasama bersama Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) sejak 2017.

Keduanya kini juga dilengkapi dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) menggunakan kad eSIM untuk kekal berhubung ke Internet menawarkan aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara.

Ia boleh diakses melalui skrin sentuh 7-inci dengan paparan warna penuh serta memori dalaman sebanyak 16GB dan aplikasi pengecaman suara diaktifkan melalui kata kunci Hi Proton!

Proton Iriz 2019 tampil dengan lima varian pilihan iaitu 1.3L Standard MT, Standard CVT, Executive CVT serta 1.6 liter Standard CVT dan Premium CVT.

Proton Persona pula dengan enjin 1.6L ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard MT, Standard CVT, Executive CVT dan Premium CVT dengan lima pilihan warna.

Untuk pasaran Malaysia Persona 2019 dijual pada harga RM42,600 sehingga RM54,600 manakala Iriz 2019 dijual pada harga bermula RM36,700 sehingga RM50,700 (atas jalan tanpa insurans).

Antara pakej percuma ditawarkan ialah cukai jalan selama 2 tahun bagi kereta-kereta yang ditempah sebelum pelancaran dan 1,000 unit pertama didaftarkan, data internet selama 5 tahun (12GB setahun) dan caj pekerja bagi tiga temu janji servis berjadual (sehingga 20,000km).

Majlis disempurnakan Pengerusi DRB-Hicom Datuk Zainal Shaari bersama Pengerusi Proton Datuk Sri Syed Faisal Albar, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong dan Timbalannya, Datuk Radzaif Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 11:16 PM
SYED Faisal (tiga, kiri) dan Dr Li (kiri) serta barisan pengurusan tertinggi Proton dan DRB Hicom sempena perasmian model terbaru Proton Persona dan Iriz. FOTO Supian Ahmad
SYED Faisal (tiga, kiri) dan Dr Li (kiri) serta barisan pengurusan tertinggi Proton dan DRB Hicom sempena perasmian model terbaru Proton Persona dan Iriz. FOTO Supian Ahmad