PROTON Iriz baharu 2019.
PROTON Iriz baharu 2019.
Lizam Ridzuan

SEJAK diperkenalkan pada 2014, Proton Iriz, kenderaan kompak dengan ciri keselamatan terbaik serta menawarkan pengendalian mantap sebagai model hatchback dalam segmen-B tempatan cukup menawan hati rakyat Malaysia.

Sejajar perkembangan semasa, hasil kerjasama Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely), imej Proton Iriz baharu yang dipertingkatkan diperkenalkan kepada umum baru-baru ini dan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Iriz adalah model Proton pertama menerima sentuhan Geely. Ia kini tampil dengan rekaan luaran lebih ‘sporty’. Ia juga memiliki elemen persamaan dengan model masa depan Proton.

Bahagian lampu hadapannya lebih nipis dan disertakan dengan gril yang menonjol dengan bentuk yang diinspirasikan daripada busur panah. Elemen ini antara yang turut ada pada Proton X70.

Gril radiator dengan corak ‘Infinite Weave’ sebagai identiti signatur yang diketengahkan untuk model keluaran Proton pada masa akan datang juga terdapat pada Iriz baharu ini.

Bampar hadapan lebih besar dengan bentuk gril radiator rendah serta lampu nyalaan siang (DRL) menambah ciri moden pada rekaan antara yang diberi pembaharuan.

Bahagian belakang Iriz menerima ciri identiti terkini dengan nama Proton menggantikan logo digunakan pada model sebelum ini dan dipadankan bampar baharu dalam bingkai menegak kelihatan lebih stabil dan sporty.

BAMPAR lebih kemas dan teguh.
BAMPAR lebih kemas dan teguh.

Sebagaimana hadapan, bahagian belakang menerima kemasan yang menyeluruh dengan reka bentuk nama Iriz juga diberi sentuhan baharu, termasuk antena radio sirip jerung dan rim aloi bercorak bilah kipas.

Untuk bahagian dalaman, Proton Iriz dilengkapi skrin sesentuh berwarna dibangunkan oleh Proton dan ECARX menawarkan opsyen ketersambungan aplikasi serta fungsi arahan suara.

Proton Iriz tampil dengan empat varian pilihan iaitu 1.3L Standard (manual lima kelajuan) dan 1.3L Standard, 1.3L Executive (automatik CVT) serta 1.6 liter (automatik CVT).

Sebagai model yang menerima penarafan lima bintang daripada Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN (NCAP), ia dilengkapi kerangka dengan Teknologi Pembentukan Bertekanan Tinggi menawarkan keteguhan untuk perlindungan seisi kabin.

Selain itu, ia juga memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Kawalan Cengkaman serta beg udara hadapan (1.3 dan 1.6L), sisi dan tirai (1.6L).

Untuk Proton Iriz baharu, belum ada pengumuman rasmi harga terkini, namun untuk pasaran ia dijual antara RM40,012 sehingga RM53,751 (atas jalan tanpa insurans).

RUANG dalaman dengan ciri arahan suara.
RUANG dalaman dengan ciri arahan suara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 1:00 PM