Lizam Ridzuan


HASIL kerjasama Proton dan Geely pada Disember 2017, selain pengenalan model serba baharu seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70, model-model sedia adanya kini menerima sentuhan pembaharuan.

Antara terawal yang menerima perubahan adalah Proton Iriz dan Persona dengan lebih 300 pembaharuan untuk kedua-dua model itu yang dilancarkan April lalu.

Untuk memberi pengalaman lebih jelas, sesi pandu uji media dan meneroka pembaharuan yang terdapat dalam dua model itu diadakan ke Dungun, Terengganu.

Lebih 20 wartawan permotoran tempatan memulakan pemanduan dari Pusat Kecemerlangan Proton +di Subang Jaya yang dilepaskan oleh Pengurus Pemasaran Cheng Seng Fook.

Penulis dan rakan sejawat daripada Berita Harian, Mohd Azwan Faizal berkongsi kereta sama dan memulakan pemanduan dengan Proton Iriz daripada varian Premium.

Proton Iriz kini tampil dengan lebih muda dengan gril hadapan baharu berkonsepkan ‘busur panah’ dengan corak infinite weave sebagai ciri signatur yang turut terdapat pada model X70 menjadikan ia tampil berbeza berbanding model terdahulu.

Bampar hadapan dengan bentuk baru lebih sporty dengan lampu nyalaan siang (DRL) yang jelas dari jauh dan pada bahagian belakang tampil elegan dengan tulisan proton dan logo model Iriz baharu.

UJIAN kestabilan Persona.
UJIAN kestabilan Persona.

Perjalanan pagi itu melalui Lebuhraya Elite menuju Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) sebelum ke Lebuhraya Pantai Timur melepasi Gombak bagi menguji kepelbagaian situasi dan permukaan laluan yang berbukit dengan selekoh panjang.

Terkenal dengan kemantapan ‘Pengendalian Proton’, sememangnya model Hatchback segmen B ini memberi kawalan mantap dengan kestabilan yang dapat dirasakan kelebihan model Proton bukan sekadar melihat terhadap rekaan semata-mata.

Talaan suspensi hadapan topang MacPherson Strut dengan besi kestabilan serta gandar belakang dengan Torsion Beam membantu mengurangkan olengan dan dalam masa menawarkan keselesaan dalam kelas yang tersendiri.

RUANG dalaman Persona.
RUANG dalaman Persona.

Model yang tidak mengalami perubahan daripada enjin ini yang dijana 1.6L CVT menjana 109 kuasa kuda pada 5,750 rpm dan 150 Nm pada 4,000 rpm sesuai untuk pemanduan dalam bandar dan juga jarak jauh dengan keupayaan pendakian yang lancar dengan kawalan pedal minyak dan rpm yang sesuai.

SESI pandu uji media ke Terengganu.
SESI pandu uji media ke Terengganu.

Perjalanan kemudian berhenti di susur keluar Temerloh untuk menukar pemandu dan penulis kali ini duduk di kerusi penumpang hadapan sambil menikmati keselesaan yang ditawarkan menuju ke Kuantan, Pahang untuk makan tengah hari.

Ruang dalaman Iriz kini tampil dengan kerusi gaya ‘sporty’ gabungan fabrik dan kulit dengan corak garisan di tengahnya untuk gaya lebih segar dan muda.

IRIZ 2019.
IRIZ 2019.

Ia juga dilengkapi meter baharu dengan Paparan Maklumat Pelbagai TFT berkaitan jarak pemanduan dan tahap bahan api.

Ruang dalaman tampil elegan dengan tuil gear baharu, roda stereng dengan butang pelbagai fungsi, cermin pandang belakang tanpa bingkai serta kemasan bumbung ‘Hitam Tricot’ yang pasti bukan sahaja lebih mudah penjagaan malah digemari golongan muda sebagai sasaran pembeli utamanya.

RUANG dalaman Iriz.
RUANG dalaman Iriz.

Selepas makan tengah hari media bertukar kenderaan kali ini penulis memandu Proton Persona yang juga mendapat sentuhan kemasan luaran dan dalaman yang sama dengan Iriz sebagai ciri signatur untuk rekaan Proton akan datang.

Sepertimana Iriz, model Persona juga menerima lebih 300 pembaharuan bagi rekaan lebih segar terutama bahagian bampar hadapan dan belakang serta ruang dalaman elegan termasuk keselesaan yang ditawarkan sebagai kenderaan sedan segmen-B.

Memandu pada kelajuan tinggi di Lebuhraya Pantai Timur 2 juga tidak melampau daripada segi getaran dan stabil ketika memandu di selekoh atau jalan tidak rata sesuai sebagai kenderaan untuk golongan eksekutif muda atau keluarga baru.

Setibanya di Tanjong Jara Resort, Terengganu selepas merehatkan badan media terus mengambil peluang merakam foto yang menarik berhampiran kawasan hotel di tepi pantai yang indah dan menarik.

Keesokan harinya media melakukan ujian perbandingan dengan beberapa model pesaing untuk ujian kestabilan serta tahap Bunyi, Getaran dan Kekasaran (NVH) yang kini dikurangkan bagi keselesaan lebih baik.

Secara keseluruhan, sesi pandu uji media Proton Iriz dan Persona ini memberi peluang menguji dalam tempoh masa yang panjang kepada media untuk mendapat gambaran lebih jelas akan pembaharuan yang diberi.

Kedua-dua model berkongsi enjin (1.6 liter) yang sama namun dibezakan daripada segi saiz dan kemasan mengikut golongan sasarnya dan penulis berpendapat model Iriz kini tampil lebih menarik dan Persona dengan sentuhan gaya premium.

Ciri ketersambungan pintar seperti fungsi arahan suaran Hi Proton! juga terdapat pada varian premium adalah yang termaju dalam segmennya yang turut boleh digunakan sebagai hotspot wifi seisi kenderaan dengan kapasaiti 1GB sebulan.

Untuk pasaran tempatan, Proton Iriz 2019 tampil dengan lima varian pilihan iaitu 1.3L Standard MT, Standard CVT, Executive CVT serta 1.6L Standard CVT dan Premium CVT.

Proton Persona pula dengan enjin 1.6L ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard MT, Standard CVT, Executive CVT dan Premium CVT dengan lima pilihan warna.

Untuk pasaran Malaysia Persona 2019 dijual pada harga RM42,600 sehingga RM54,600, manakala Iriz 2019 dijual pada harga bermula RM36,700 sehingga RM50,700 (atas jalan tanpa insurans). #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 4:30 AM