Erywan Norshal


Proton Persona generasi kedua akhirnya dilancarkan Selasa lalu, yang mana harga jualan termasuk insurans dan cukai jalan diletak antara RM46,800 sehingga RM59,350.

Jika dinilai dari segi harga, mungkin ini adalah masa yang tepat untuk memiliki kenderaan segmen B keluaran nasional selepas dilengkapi beberapa ciri menarik dengan spesifikasi keselamatan tertinggi.

Malah, model itu dikatakan kenderaan paling murah dalam segmen B yang menggunakan enjin 1.6 liter berbanding jenama asing.

Pengenalan model baharu itu juga menjadi penanda aras baharu buat Proton Holdings Bhd (Proton) untuk memikat semula hati masyarakat Malaysia khususnya generasi muda untuk memiliki kenderaan nasional sekali gus memenuhi sasaran jualannya iaitu antara 3,000 sehingga 4,000 unit sebulan.

Bagi generasi pertamanya, Proton Persona sudah dijual melebihi 250,000 unit sejak diperkenalkan 2007 dengan dibangunkan menerusi model Proton Gen2. Kali ini, generasi kedua Proton Persona meng­gunakan platform Iriz iaitu kenderaan kompak yang diperkenalkan beberapa tahun lalu tetapi kehadiran segmen B itu tampil berbeza.

Ruangan Pandu Uji akan memperincikan ciri-ciri istimewa Proton Persona bagi membolehkan pembaca membuat rujukan bagi membandingkannya dengan model lain sebelum membeli kenderaan segmen B.

Reka bentuk

Ia tampil penuh bergaya dengan reka bentuk yang menarik dari setiap sudut pandangan lebih-lebih lagi garisan krom panjang mengelilingi bonet hadapan.

Penampilannya kelihatan lebih moden terutama pada varian spesifikasi tertinggi selepas padanan perumah lampu hadapan yang tajam dengan kombinasi lampu kabus di bahagian bawah selain tampak sporty selepas dileng­kapi spoiler pada bahagian belakangnya.

Jika dilihat pada sisinya, garisan sepanjang badannya memberi aliran udara yang optimum selain bentuknya direka untuk kelebihan aerodinamik.

Biarpun menggunakan rim aloi 15 inci, rekaannya masih lagi cantik selepas dibaluti tayar bersaiz 185/55 R15.

Malah, ruang but belakang mempunyai kapasiti 510 liter tentunya memadai bagi me­ngisi barangan yang banyak ketika diperlukan, biarpun ia dibangunkan meng­gunakan platform kereta kompak Proton Iriz.

Ruangan dalaman

Bagi varian tertinggi iaitu Premium CVT dilengkapi sistem audio sesentuh berserta navigasi dan kamera undur. Ia juga dilengkapi kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta tampak mewah selepas kerusi dibaluti material kulit.

Ia juga didatangkan de­ngan paras kawalan elektrik ketinggian lampu, bukaan lampu utama automatik serta ‘Follow Me Home Lamp’ iaitu lampu bernyala dalam tempoh beberapa saat sebelum terpadam.

Varian Standard dan Executive pula masing-masing didatangkan dengan sistem audio Single DIN serta Double DIN dengan padanan kerusi balutan material fabrik.

Bagaimanapun, semua varian itu dilengkapi dengan 10 ruang termasuk tujuh tempat pemegang cawan serta ditawarkan dua pengecas USB.

Ruang tempat duduk masih lagi selesa dengan kedapan bunyi dipertingkatkan untuk memberi ketenangan ketika memandu.

Rangkaian kuasa

Semua varian dilengkapi enjin 1.6 liter VVT yang menyalurkan berkuasa 107hp pada 5,750rpm dan tork sehingga 150Nm pada 4,000rpm, selain berdaya pecutan 0-100 kilometer sejam dalam masa 10.9 saat.

Biarpun berkongsi enjin dan transmisi CVT sama dengan Proton Iriz, ia ditala semula untuk bersesuaian dengan kereta sedan dan lebih lancar.

Malah jentera itu lebih jimat minyak dengan bacaan purata 5.6 liter bagi setiap 100km untuk versi manual dan 6.1 liter bagi setiap 100km untuk transmisi CVT.

Pengendaliannya juga lebih baik selepas menggunakan stereng berkuasa elektronik dengan radius membuat pusingan adalah lima meter.

Ciri keselamatan

Proton bertungkus-lumus memastikan kenderaan mereka lebih selamat kepada semua penumpangnya selepas struktur badan diperkuat dengan menggunakan inovasi terkini iaitu teknologi Hot Press Forming.

Apa yang patut dibanggakan, semua varian menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP. Bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Proton Persona baharu memperoleh 14.04 mata, manakala menerima penarafan empat bintang bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) dengan mencatatkan 82 peratus.

Pada masa sama, ia dileng­kapi Kawalan Kestabilan Elektronik dengan Sistem Kawalan Tarikan, Bantuan Brek, Sistem Brek Antikunci, Bantuan Kawalan Cerun, Isofix serta enam beg udara bagi varian Premium (dua beg udara bagi Standard dan Executive).

Harga dan varian ditawarkan

Sebanyak empat model ditawarkan iaitu Standard MT, Standard CVT, Executive CVT dan Premium CVT. Ia didatangkan dengan enam pilihan warna membabitkan Graphite Grey, Carnelian Brown, Fire Red, Sterling Silver, Cotton White dan Midnight Black.

Kenderaan itu disasarkan kepada golongan muda yang dijual pada harga atas jalan termasuk insurans mengikut varian berbeza:

• Standard MT-RM46,800

• Standard CVT-RM49,800

• Executive CVT-RM55,800

• Premium CVT-RM59,800

INFO

- Enjin: 1.6 liter VVT

- Kuasa maksimum: 107PS pada 5,750rpm

- Tork maksimum: 150Nm pada 4,000rpm

- Transmisi: Manual lima kelajuan dan CVT

- Brek: Cakera (hadapan) dan dram (belakang)

- Pusingan radius: Lima meter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:02 AM
PROTON Persona baharu.
PROTON Persona baharu.
REKAAN aerodinamik.
REKAAN aerodinamik.
BAHAGIAN belakang menarik.
BAHAGIAN belakang menarik.
ENJIN 1.6 liter VVT.
ENJIN 1.6 liter VVT.
TEMPAT duduk belakang selesa.
TEMPAT duduk belakang selesa.
RUANG kokpit pemandu.
RUANG kokpit pemandu.
SISTEM audio skrin sesentuh.
SISTEM audio skrin sesentuh.