RANGE Rover Velar adalah jelmaan Range Rover Sport.
RANGE Rover Velar adalah jelmaan Range Rover Sport.
Mohd Razlan Salleh

Jenama Land Rover tidak perlu diperkenalkan lagi. Selain berimej lasak, gaya premium yang ditampil­kan sering menjadi pilihan golongan kenamaan untuk memilikinya.

Bagi melengkapkan barisan koleksi Range Rover, Jaguar Land Rover Malaysia mengumumkan bakal membawa masuk model SUV saiz menengah, Velar pada suku kedua tahun ini.

Model ini berada pada kelas antara Range Rover Sport dan Evoque dengan ciri kemewahan yang sedikitpun tidak berkurangan.

Velar adalah model prototaip Range Rover yang dihasilkan pada 1969 dengan ruang dalaman luas. Jentera ini hadir dengan reka bentuk kontemporari dan teknologi terkini antaranya lampu utama LED sepenuhnya, pertama dalam keluarga Range Rover.

Direka dan dibangunkan di pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Land Rover di United Kingdom, Velar akan dikilangkan di Solihull untuk pasaran global.

RUANG dalaman serba mewah dan eksklusif.
RUANG dalaman serba mewah dan eksklusif.

Menariknya mengenai model ini, kerangka dibina daripada 80 peratus bahan aluminium yang teguh tetapi ringan.

Padanan suspensi ‘double wishbone’ pada gandar hadapan dan Integral Link di belakang, menjanjikan pemanduan mantap serta stabil terhadap sebarang permukaan jalan raya.

Ruang kabin pula dilengkapi dua skrin sesentuh bersama sistem infotainmen Touch Pro Duo beresolusi tinggi.

Bagaimanapun, butiran lebih terperinci mengenai model ini akan diumumkan pada pelancarannya nanti dan mereka yang berminat boleh mengunjungi semua bilik pameran Land Rover seluruh negara untuk tempahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 3:31 AM