TANAH pertanian yang dahulunya diusahakan warga tempatan kini dikuasai dan ‘dimiliki’ pendatang asing Rohingya dan Bangladesh.
TANAH pertanian yang dahulunya diusahakan warga tempatan kini dikuasai dan ‘dimiliki’ pendatang asing Rohingya dan Bangladesh.
Oleh Noor Azam Ab AzizYusmizal Dolah AlingNurul Husna MahmudMohammad Khairil Asharaf Mohd Khalid dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi dan Amirul Aiman Hamsuddinn


Bagan Serai: Ibarat misi penjajahan terancang dilakukan warga asing bagi menguasai sektor pertanian tempatan.

Itu hakikatnya apabila kebun sayur sekitar daerah Kerian, Perak dan di utara Selangor giat dijarah golongan warga asing ini sejak beberapa tahun lalu.

Tanah pertanian ini yang dahulunya diusahakan warga tempatan kini dikuasai dan 'dimiliki' pendatang asing Rohingya dan Bangladesh hingga mengundang resah.

Ia berikutan ada diantara mereka berani mengusahakan tanaman berkenaan di atas tanah rizab kerajaan selain ada pemilik tanah sanggup memajak tanah kepada golongan ini semata-mata mahu meraih keuntungan besar.

Selain tanaman, terdapat juga pemilik tanah yang menjadikan tanah ini sebagai penempatan haram warga asing seperti pernah didedahkan media di Bagan Serai baru-baru ini.

Tinjauan wartawan di daerah Kerian mendapati golongan ini mengusahakan tanaman sayur-sayuran di atas tanah milik warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan kegiatan itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada tanah itu dibeli atau sebaliknya namun golongan ini berani mengusahakan kebun sayur-sayuran pada skala besar dan mula menjualnya kepada pemborong tempatan.

Difahamkan tanah yang diusahakan itu asalnya adalah tanah tinggal atau dipenuhi semak samun namun sikap pemilik tanah yang mahu mendapatkan wang mudah dipercayai menjadi punca kemasukan warga asing ini.

Malah, mereka sanggup membayar kadar sewa atau pajakan tinggi kepada pemilik tanah ini. Selain sayur-sayuran, golongan warga asing ini juga mula menceburi tanaman padi di daerah ini selain menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pesawah tempatan.

Mereka dikesan menawarkan kerja-kerja meracun dan membaja serendah RM 6 hingga RM 8 sahaja setiap tong atau kampit baja kepada pesawah tempatan. Ini sekali gus memberikan persaingan kepada warga tempatan yang sebelum ini meletakkan harga antara RM 10 hingga RM 12 bagi setiap tong atau kampit baja.

Malah, ada juga pesawah yang mengupah mereka sepenuhnya bagi menjaga petak sawah yang diusahakan berikutan harga upah yang rendah.

Kegiatan ini memberi kesan besar pada penduduk tempatan yang mencari rezeki melalui kerja rencam dan mengambil upah di sawah. Tidak hanya itu, golongan warga juga kini mahir membuat semaian padi sebelum dijual pada pesawah tempatan pada harga sekitar RM700 bagi satu ekar.

Sementara itu Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Ridhuan Othman, berkata, pihaknya mengenal pasti lebih empat hektar kebun sayuran haram diusahakan warga asing di daerah Kerian.

Menurutnya tindakan mereka ini memberi kesan terhadap hasil jualan sayur-sayuran pekebun tempatan.

"Pertama dari segi harga apabila harga yang ditawarkan mereka jauh lebih murah dari harga pasaran. Ini menyebabkan ramai pemborong tempatan membeli dari mereka. Hal ini menyebabkan sayur-sayuran dari kebun penduduk tempatan tidak laku dan seringkali berlaku lambakan.

"Dari sudut penguatkuasaan, kita tiada akta untuk memusnah kebun yang mereka usahakan namun sekiranya ada aduan penyalahgunaan racun atau sebarang bentuk pencemaran, kami boleh ambil tindakan," katanya dihubungi media.

Menurutnya lagi Jabatan Pertanian sering membuat pemantauan dari masa ke semasa dan menegaskan tiada bentuk bantuan diberikan pada pemilik tanah yang menyewa tanah mereka kepada warga asing untuk diusahakan.

Berhubung tanah milik kerajaan yang diusahakan golongan ini, jabatan berkaitan sedia maklum dan akan mengambil tindakan segera.

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini pernah mengeluarkan amaran bahawa pekerja asing akan menguasai ekonomi negara jika diberi peluang.

Tidak hanya di kawasan jelapang padi malah warga asing ini turut dikesan menceroboh tanah untuk membuka ladang sayur haram di Cameron Highlands, Pahang.

Dulu sawah kini jadi kebun sayur

Sabak Bernam: Kerakusan warga asing Bangladesh menceroboh tanah atau bekerja secara haram di ladang sayur serta sawah padi sekitar Sekinchan dan Tanjung Karang di sini, pernah didedahkan akhbar ini dua tahun lalu.

Bagaimanapun ia tidak memberi sebarang impak berikutan kehadiran golongan pendatang asing ini kian bertambah secara drastik.

Malah kegiatan warga asing menukar sawah padi menjadi ladang sayur di Sekinchan dan Tanjong Karang, Selangor bukan lagi rahsia.

Tinjauan wartawan Harian Metro di Kampung Seri Gambut, Sungai Burung, di sini, mengesan kehadiran ramai warga Bangladesh giat mengusahakan pelbagai tanaman sayur-sayuran selain tanaman kontan lain.

Golongan ini yang dahulunya dianggap kuli atau buruh ladang upahan sebalik kini sudah mampu memiliki motosikal dan kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan mengutip hasil tanaman untuk dipasarkan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan adakah mereka mempunyai permit dan dokumen yang sah untuk berada di negara ini.

Hasil tinjauan dilakukan mendapati mereka aktif mengusahakan tanaman kontan seperti jagung dan ubi kayu yang hidup subur di kawasan sawah padi selain menanam sayuran seperti labu dan kacang bendi.

Kehadiran mereka dilihat semakin ramai dan menggusarkan warga tempatan yang kini terpaksa bersaing bagi memasarkan hasil tani.

Harian Metro pada 24 November 2021 pernah mendedahkan warga asing terutama dari Bangladesh dan Rohingya yang sebelum ini mengambil upah bekerja di sawah, kini berubah menjadi tauke ladang.

Ia selepas mereka menyewa sawah milik warga tempatan dan menukar bendang kepada kebun seluas 12 hektar di sekitar Sekinchan Selangor.

Susulan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan operasi di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor dan menahan 13 warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar kerana tidak memiliki permit perjalanan yang sah.

Operasi sama juga memeriksa 53 warga asing yang bekerja di sawah dan kebun sayur di kawasan berkenaan.


'Warga asing lasak berkebun'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 11:30 AM