KUALA LUMPUR 12 DISEMBER 2021. Tinjauan Pesawah Bangladesh di sekitar Sekincan. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
KUALA LUMPUR 12 DISEMBER 2021. Tinjauan Pesawah Bangladesh di sekitar Sekincan. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Yusmizal Dolah Aling


Tanjong Karang: Aktiviti berkebun di sawah padi yang dilakukan warga asing di sekitar Sekinchan masih berjalan biarpun sudah digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Khamis lalu.

Namun ia sedikit lengang berbanding sebelum ini dengan jumlah pendatang asing yang keluar masuk ke kawasan itu dilihat berkurangan.

Tinjauan Harian Metro di sekitar jelapang padi berkenaan mendapati, warga Bangladesh dipercayai mempunyai dokumen yang sah terus mengusahakan pelbagai sayuran dan tanaman kontan di situ.

Warga asing berkenaan dilihat sedang membersihkan kawasan kebun selain mengutip hasil tanaman untuk dipasarkan.

Seorang pemilik sawah yang mahu dikenali sebagai Abdul Ghani, 50-an berkata, sejak operasi JIM diadakan minggu lalu, aktiviti kebun masih berjalan, namun jumlah warga asing dilihat kurang.

Katanya, dia dimaklumkan bahawa ada pendatang asing tanpa dokumen sah berjaya meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

"Mereka yang tiada dokumen ada yang ditahan dan saya dimaklumkan ada yang lolos.

"Bagaimanapun, operasi oleh JIM itu memberi kesan kerana sejak beberapa tahun lalu, mereka ini tidak diusik, ada ketikanya lebih dari tuan tanah," katanya.

Katanya, antara faktor sawah berkenaan ditukar menjadi kebun kerana ia lebih mudah diusahakan selain mendapat permintaan di pasaran.

"Jadi, kesannya kepada industri padi untuk jangka masa panjang. Kalau sebahagian besar sawah ini ditukar menjadi kebun, apa akan jadi dengan bekalan beras kita," katanya.

Laporan ekslusif akhbar ini 24 November lalu mendedahkan warga asing terutama dari Bangladesh dan Rohingya yang sebelum ini mengambil upah bekerja di sawah, kini bertindak sebagai tauke.

Ia selepas mereka menyewa sawah milik orang tempatan dan menukar bendang kepada kebun seluas 12 hektar di sekitar Sekinchan Selangor.

Susulan itu, JIM melancarkan operasi di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor dan menahan 13 warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar ditahan kerana tidak memiliki permit perjalanan yang sah.

Operasi sama juga memeriksa 53 warga asing yang bekerja di sawah dan kebun sayur di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 5:16 PM