Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor akan membawa isu warga asing menjadi tauke di ladang sayur ke Jawatankuasa Daerah bagi mengambil tindakan sewajarnya menangani isu terbabit.

Ramli berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan pegawai daerah akan melihat kebenaran warga asing kini menjadi tauke di ladang sayur dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan dan perundangan sedia ada.

"Selain itu saya memohon mereka yang mempunyai maklumat tepat mengenai aktiviti ini yang boleh menggugat kawasan Cameron Highlands supaya menyalurkan kepada pihak berkuasa.

"Jangan menyembunyikan kegiatan warga asing terbabit kerana saya percaya maklumat yang tepat boleh diambil tindakan dan menghalang daripada berlaku," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, warga asing yang berada di Cameron Highlands kebanyakannya mempunyai permit kerja dan dokumen sah namun tidak menafikan juga ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai dokumen.

"Sehubungan itu, saya meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan kawasan Cameron Highlands ini selamat dan mereka yang hanya ada dokumen boleh berada di sana kerana kita tidak mahu timbul isu sosial, jenayah dan sebagainya," katanya.

Harian Metro sebelum ini menerusi laporan eksklusif mendedahkan mereka datang ke negara ini pada mulanya untuk bekerja di kebun sayur di kawasan tanah tinggi di sini, sebelum berjaya meluaskan empayar apabila mampu menjadi 'tauke' dan hidup kaya-raya dengan mengusahakan ladang sayur sendiri.

Malah, pendapatan warga asing terbabit juga mencecah puluhan ribu hasil menanam sendiri sayur-sayuran berbanding hanya ribuan ringgit ketika bekerja di kebun sayur milik majikan masing-masing.

Keadaan ini berlaku apabila warga asing terutama dari Bangladesh dan Indonesia melihat terdapat peluang untuk menjadi tauke dengan menyewa tanah milik orang tempatan dan mengusahakan tanaman sayur-sayuran sendiri.

Mereka juga didakwa membentuk komuniti di sini dengan membuka kedai makan sendiri, selain ada juga berkahwin dengan penduduk tempatan dan Orang Asli bagi memudahkan mereka menjalankan perniagaan.

Menurut sumber, ada pemilik tanah tempatan yang ingin mendapat wang dengan cara mudah sanggup menyewakan tanah mereka kepada warga asing ini untuk diusahakan dengan tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 12:39 PM