SUMARI, menunjukkan antara sayur-sayuran dan buah-buahan yang sudah siap dipetik untuk pasaran tempatan yang di tanam di Kebun Komuniti di kawasan tanah terbiar di depan rumahnya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SUMARI, menunjukkan antara sayur-sayuran dan buah-buahan yang sudah siap dipetik untuk pasaran tempatan yang di tanam di Kebun Komuniti di kawasan tanah terbiar di depan rumahnya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


RAMAI yang terkesan seperti hilang kerja sejak Covid-19 melanda namun ada juga yang mengambil peluang untuk berbudi pada tanah untuk menjana pendapatan.

Pengusaha bas, Sumari Anid Ridjoh, 57, yang kehilangan punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berkata, dia serta beberapa rakan mengusahakan kebun komuniti di Fasa 1, Bandar Springhill di sini.

"Sebelum ini, kami mengusahakan kebun komuniti di tanah terbiar betul-betul di depan rumah saya tetapi atas kesibukan dengan tugasan harian (pengusaha bas sekolah), kebun ini agak terbiar.

"Sebaik PKP dilaksanakan, saya memperbaiki dan memperbanyakkan tanaman yang mudah mendatangkan hasil serta mudah dijaga.

"Pada masa sama, ia dapat menjana pendapatan," kata bekas anggota tentera itu.

Menurut Sumari, antara tanaman diusahakan ialah kangkung, sawi, bayam, kacang panjang, petola, serai, kunyit, betik dan ulam raja.

"Setiap dua atau tiga hari, saya menjual hasil tanaman kepada peniaga di pasar atau kepada jiran yang datang ke kebun kerana mereka sukakan sayur segar.

"Saya bersyukur kerana punca pendapatan tidak putus walaupun tidaklah sebanyak mana," kata bapa kepada tiga anak itu.

Sumari berkata, kebun komuniti ini diusahakan sejak lima tahun lalu dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Port Dickson.

Bagaimanapun, ketika ini, ia dilaksanakan sendiri tanpa pemantauan dan bantuan FAMA.

"Idea FAMA yang menggalakkan penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan amat baik.

"Pasti ada hasil jika kita rajin berusaha. Saya cukup bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah SWT ini," katanya.

Menurutnya, dia serta rakan akan terus mengusahakan tanah terbiar berkenaan selagi dibenarkan pemaju.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 2:24 PM