Norhayati Nordin

Penyertaan dalam program hiburan, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVM) musim kedua di TV3 pada 2019 nyata bukan satu keputusan 'sia-sia' buat Iman Troye untuk mula mengorak langkah dalam karier nyanyian.

Buktinya selama lebih empat tahun ini, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 20, sudah mengecap populariti dengan peluang merakamkan beberapa lagu yang meledakkan namanya sebagai penyanyi.

Difahamkan Iman juga sudah merakam lima single iaitu Teman, Pejam Celik Hari Raya, Nang, Harum Sundal Malam dan Omong Kosong yang berjaya menambat hati pendengar muzik masa kini.

Justeru, berbekal tiga minggu lagi tiba kedatangan 2024, Iman mengaku dia sudah mempunyai perancangan untuk karier nyanyian termasuk lakonan yang mahu dicuba bagi mengembangkan bakatnya.

"Insya-Allah, saya sudah sedia untuk beraksi dalam lakonan pula sekiranya ada peluang pada tahun depan. Ini adalah masa untuk saya luaskan bakat sebagai pelakon selepas pernah menolak beberapa peluang yang datang sebelum ini kerana tidak yakin.

"Saya tak nafikan masih baharu dalam karier seni dan boleh dikata 'merangkak' lagi untuk berada pada tahap sekarang. Namun, saya sedar pada masa ini juga perlu berani pelbagaikan bakat dan tidak boleh hanya fokus pada satu bidang," katanya.

Ditanya mengenai watak dan sekiranya ada rezeki menjadi 'heroin' drama, Iman berkata, dia tidak akan terlalu memilih watak kerana sedar masih tiada pengalaman dan perlu menimba ilmu daripada pelakon lain yang berkaliber.

"Tapi, saya tak kisah pun nak kena belajar sebab ini proses kehidupan. Jadi, harapan saya semoga tahun depan dapat tawaran berlakon kerana saya sudah bersedia dan yakin boleh berlakon sebab ada minat.

"Selain itu, pada 2024 juga saya rancang ingin muncul dengan album solo pertama yang kini dalam pembikinan. Saya bercadang memuatkan lagu baharu untuk dikongsi dengan peminat yang sentiasa menyokong saya," katanya.

IMAN rancang muncul dengan album solo pada tahun depan.
IMAN rancang muncul dengan album solo pada tahun depan.

Mengulas juga kecaman netizen, Iman berkata, dia sudah terbiasa dikecam di media sosial dan menerima dengan hati terbuka kerana menyifatkan setiap orang berhak menulis komen masing-masing walaupun ada berbaur negatif.

"Saya dah fikir masak-masak mengenai kecaman netizen apabila bergelar pelakon nanti. Bagi saya, biarkan mereka nak cakap apa dan tak perlu bimbang dikecam kerana yang penting saya berani nak cuba berlakon.

"Kalau asyik risau dan takut netizen cakap apa, mengutuk serta kecam, rasanya sampai bila-bila saya tidak akan mengorak langkah ke depan. Jadi, saya akan terima saja orang nak cakap apa, asalkan sudah mencuba kerana itu lebih penting.

"Lagi pula, dah banyak kali pun saya kena kecam dalam nyanyian dan ia tidak ada beza kalau berlakon nanti. Lumrah sekarang, orang suka kecam dan saya terima kerana di sebalik itu, ada banyak juga netizen yang menyokong," katanya.

Terdahulu, Iman juga sebelum ini pernah berhadapan dakwaan netizen yang menyamakan bibirnya persis dengan usahawan popular, Datuk Seri Vida dan ia langsung tidak terkesan pada Iman kerana enggan ambil pusing.

IMAN dan MK K-Clique dipilih sebagai duta PTTI.
IMAN dan MK K-Clique dipilih sebagai duta PTTI.

Bantu calon SPM

Dipilih sebagai duta PTTI iaitu pusat peningkatan akademik dan pakar yang kini sudah memasuki tahun kedua, Iman berkata, dia menggalakkan golongan muda supaya gigih menimba ilmu terutama fokus pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ilmu sangat penting, lebih-lebih lagi SPM yang akan diduduki oleh kita sekali seumur hidup. Saya gembira dapat bersama PTTI memberi galakan kepada belia tanah air supaya gigih menimba ilmu akademik.

"Apa pun, saya teruja sepanjang mengikuti tenaga pengajar PTTI melakukan aktiviti pembelajaran tuisyen untuk membantu pelajar SPM bagi mendapatkan skor A dalam keputusan mereka. Teknik belajar dilakukan amat membantu dan mudah difahami," katanya.

Terdahulu, Iman ditemui hadir pada majlis pelancaran dan sidang media program PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 ntv7 di Sri Pentas, Bandar Utama beru-baru ini kerana bertindak sebagai duta bersama penyanyi dan pelakon, MK K-Clique.

Menurut Iman lagi, menerusi kerjasama PTTI dengan Media Prima Berhad (MPB) untuk program PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 itu bertujuan membantu calon SPM tahun ini memperoleh keputusan cemerlang yang diharapkan mereka dan ibu bapa.

"Apa pun, yang pasti saya juga berpeluang kongsi pengalaman secara interaktif kepada pelajar mengenai persediaan akhir menjelang SPM dalam program disiarkan ntv7 yang mempunyai 16 episod ini," katanya.

Program PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 kini disiarkan setiap Sabtu dan Ahad di ntv7 mulai 9 Disember lalu, selama satu jam dari 10 pagi hingga 11 pagi secara langsung di studio.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 6:01 AM