Cikgu Fana dan Cikgu Habib berinteraksi dengan Dr Azizan Osman
Cikgu Fana dan Cikgu Habib berinteraksi dengan Dr Azizan Osman

Kuala Lumpur: Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI melangkah setapak lagi seiring dengan peredaran masa apabila memperkenalkan aplikasi pembelajaran khas atas talian.

Majlis pelancaran aplikasi berkenaan berlangsung secara maya di Hitman Studio di Shah Alam, baru-baru ini dirasmikan mentor usahawan terkenal Datuk Wira Dr Azizan Osman.

Tidak ketinggalan dihadiri ikon dan dutanya MK K-Clique selain artis popular seperti Zizan Razak, Nabila Razali, Iman Troye dan Tya Arifin.

Kemunculan aplikasi terbabit juga menjadi penanda aras baharu seiring tuntutan semasa termasuk membiasakan norma baharu pada era pandemik Covid-19.

MK, Cikgu Habib di samping teman artis Zizan Razak, Nabila Razali, Tya Arifin dan Iman Troye pada majlis pelancaran.
MK, Cikgu Habib di samping teman artis Zizan Razak, Nabila Razali, Tya Arifin dan Iman Troye pada majlis pelancaran.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata mereka tidak boleh terkebelakang dalam hal pendidikan.

"Aplikasi pembelajaran atas talian ini dibangunkan staf PTTI sendiri sejak akhir tahun lalu. Kita berasakan selepas lebih lima tahun memacu dunia pendidikan terutama untuk calon SPM termasuk situasi tak terduga pandemik ini, perlu ada alternatif baru belajar.

"Justeru lahirlah idea aplikasi ini. Kita juga mahu meneruskan kelangsungan membantu lebih ramai lagi pelajar SPM meningkatkan gred dan keputusan cemerlang secara atas talian," katanya.

Tambah beliau, aplikasi terbabit dilancarkan sebagai usaha untuk mewujudkan ruang pembelajaran khas bagi pelajar SPM.

"Kita yakin aplikasi ini mampu terus mencakna perubahan iklim pembelajaran semasa saat ini.

"Pelajar juga boleh belajar secara atas talian menerusi aplikasi terbabit. Malah mereka juga dapat menonton ratusan video ulang tahun teknik dan skil belajar secara percuma," katanya.

Menerusi pelancaran aplikasi itu juga pelajar SPM boleh melayari aplikasi www.MampuSkorSPM.com untuk memuat naiknya secara percuma.

"Pelajar juga boleh memuat turun aplikasi ini sama ada di App Store untuk pengguna Iphone atau Playstore (android).

"Ini masanya untuk pelajar SPM terutama calon peperiksaan itu mengakses ilmu dan dapat belajar percuma dengan aplikasi ini di mana-mana sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 10:20 PM