MK K-Clique adalah duta dan ikon PTTI. FOTO Asyraf Hamzah
MK K-Clique adalah duta dan ikon PTTI. FOTO Asyraf Hamzah
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi rap dan pelakon, MK K-Clique sedar ada segelintir pihak mempertikai dan mempersoalkan pemilihan artis sebagai duta dan ikon kerana dianggap kurang sesuai dijadikan contoh untuk pelajar sekolah. 

MK, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan kini dilantik menjadi duta pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI bagi tahun kedua. 

"Ramai tidak tahu saya memiliki diploma dalam bidang pengurusan perniagaan dari UiTM (Universiti Teknologi Mara) Kota Kinabalu, Sabah.

"Saya tahu ada yang mempertikaikan perkara ini hanya kerana saya seorang artis. Saya bukanlah manusia yang sempurna namun syukur diberi kepercayaan ini dan kesungguhan saya menjalankan tugas sebagai seorang ikon diterima baik oleh pelajar. 

"Saya sendiri sudah membuatkan ibu bapa bangga kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Menuntut ilmu adalah sangat penting untuk semua orang kerana itu adalah salah satu tujuan hidup," katanya. 

Menurut MK, bergelar duta dan ikon membuatkan dirinya banyak berubah menjadi seorang yang lebih baik. 

"Ini tahun kedua saya dilantik sebagai duta, ia banyak mengubah diri saya menjadi seorang yang lebih baik. Saya perlu menjadi ikon kepada golongan pelajar, jadi disebabkan itu saya sentiasa perlu menjaga tingkah laku termasuk cara penampilan. 

"Saya faham tugas sebagai ikon adalah untuk menjadi contoh kepada golongan pelajar. Saya banyak berkongsi pengalaman hidup supaya mereka bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cabaran di masa akan datang," katanya. 

Selain MK, penyanyi Iman Troye juga adalah duta dan ikon PTTI. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 11:59 AM