Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul (kanan) bersama Siti Farhana (tengah) dan barisan tenaga pengajar dan duta PTTI ketika sidang media Program ntv7, PTTI Pecutan Akhir SPM. Foto Eizairi Shamsudin
Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul (kanan) bersama Siti Farhana (tengah) dan barisan tenaga pengajar dan duta PTTI ketika sidang media Program ntv7, PTTI Pecutan Akhir SPM. Foto Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Media Prima Berhad (MPB) menerusi saluran ntv7 menjalin kolaborasi kali pertama dengan PTTI iaitu pusat peningkatan akademik dan pakar untuk membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan memperkenalkan program PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 mulai Sabtu dan Ahad jam 10 pagi.

Program 16 episod ini akan disiarkan selama sejam dari jam 10 pagi hingga 11 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul berkata, pihaknya sangat terbuka dengan kolaborasi sebegini yang bermanfaat untuk membantu golongan muda mencapai sasaran terbaik SPM sekali gus pencapaian pendidikan mereka.

"Sebenarnya di ntv7, kami juga mempunyai kempen pecutan akhir untuk SPM yang bersiaran dari Disember ini sehingga Januari depan, namun pada masa sama ada juga kerjasama dengan PTTI dan ia termasuk salah satu program tuisyen secara langsung di televisyen.

"Jadi, kami amat berharap penonton ntv7 terutama calon peperiksaan SPM akan mendapat manfaat besar daripada program PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 yang akan memperkenalkan cara pembelajaran mudah, ringkas dan menyeronokkan.

"Kami percaya dengan kaedah pembelajaran ini antara yang mampu memberi kesan terbaik kerana merasakan PTTI membawa satu kepelbagaian dan kelainan untuk kredibiliti teknik mengajar mereka diketengahkan di televisyen serta ia boleh dilihat oleh ibu bapa," kata Seelan ketika ditemui pada sidang media PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 yang berlangsung di Theatrette, Sri Pentas Bandar Utama, hari ini. Selain Seelan, hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar serta duta dan ikon PTTI iaitu Iman Troye dan MK K-Clique.

Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul. Foto Eizairi Shamsudin
Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul. Foto Eizairi Shamsudin

Tambah Seelan, ntv7 juga secara tidak langsung dapat menarik kehadiran penonton baharu yang mungkin boleh dicapai menerusi kerjasama ini dalam usaha mempelbagaikan program pendidikan dan kandungan didik hibur disediakan.

Difahamkan, PTTI sudah terbukti keberkesanannya dalam merubah paradigma pembelajaran tradisional kepada pengalaman digital yang lebih interaktif dan efektif sejak 2015 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman pula berkata, PTTI adalah platform pendidikan dalam talian di Malaysia dengan formula serta teknik menjawab peperiksaan yang terbukti berjaya membantu pelajar meningkatkan gred peperiksaan menerusi pembelajaran mudah dan ringkas.

"Inisiatif ini bukan saja meningkatkan akses pendidikan berkualiti tetapi juga membantu pelajar khususnya calon SPM mencapai kecemerlangan akademik mereka.

"Menerusi kolaborasi kali pertama dengan MPB yang mana ntv7 sebagai platform disediakan, saya percaya dapat membantu lebih ramai pelajar dan menaikkan lagi jumlah pelajar memperoleh keputusan semua A di Malaysia pada SPM ini," katanya.

PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 dikendalikan barisan 13 tenaga pengajar berpengalaman yang membantu teknik menjawab soalan-soalan SPM untuk mata pelajaran teras dan aliran Sains iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia.

Setakat ini, PTTI sudah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya mencatat jumlah pelajar memperoleh semua A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 lalu menerusi kategori 'Most Straight A's SPM Students In A Tuition.

Program PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 di ntv7 juga boleh diikuti secara langsung menerusi tonton Live TV dan XTRA Live TV, myfreeview (saluran 107), Astro (saluran 147), unifi (saluran 107), dan secara maya menerusi platform digital YouTube @ntv7MALAYSIAOfficial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:58 PM