KUMPULAN legenda tanah air bakal hiburkan peminat dari kawasan Pantai Timur
KUMPULAN legenda tanah air bakal hiburkan peminat dari kawasan Pantai Timur
Ridzuan Abdul Rahman


BANDARAYA Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Singa sudah dijelajahi kumpulan legenda tanah air negara, Search.

Terbaharu Kuantan, Pahang pula jadi destinasi pilihan bagi konsert mereka.

Bertema Rock 'n Roll Pie, Noordin Mohd Taib atau Din sebagai pemain gitar, Hamzah Mohd Taib (Kid-gitar), Yantoi (bass), Minn (drum) dan Denden Gonjalez (vokal) akan menggegarkan Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan Oktober ini.

Din berkata, konsert yang akan berlangsung selama dua jam dengan lebih 20 lagu ini dianggap sebagai hadiah istimewa buat peminat di Pantai Timur.

"Mereka tidak pernah jemu menyokong sepanjang 42 tahun kami berkecimpung dalam industri muzik tanah air. Sudah semestinya kami akan bawakan lagu-lagu hits yang sentiasa menjadi siulan sehingga kini pada malam terbabit.

"Kelainan akan dibuat terutama dari segi lagu-lagu yang bakal dibawakan nanti. Search akan tampil dengan beberapa buah lagu terutama daripada album Rock 'n Roll Pie yang jarang-jarang dibawakan sebelum ini.

"Kami turut akan bawakan lagu-lagu yang jarang kami mainkan dalam konsert-konsert sebelum ini. Antaranya lagu-lagu daripada album seperti Karisma (1990) dan Gema Di Timur Jauh (1995)," katanya.

AKAN tampil dengan beberapa lagu daripada album Rock ‘n Roll Pie yang jarang-jarang dibawakan sebelum ini.
AKAN tampil dengan beberapa lagu daripada album Rock ‘n Roll Pie yang jarang-jarang dibawakan sebelum ini.

Bagi memastikan kepuasan peminat di sana, Search berjanji akan menampilkan peralatan-peralatan muzik dan sistem bunyi yang berkualiti.

"Kali terakhir kami ke beraksi di sana sekitar 15 tahun lalu. Untuk kali ini, kami sasarkan mahu menarik 3,000 peminat. Kami akan gunakan peralatan-peralatan dan sistem bunyi yang sama seperti Konsert Search di Roof Top, Kompleks Campbell, Kuala Lumpur pada 11 Jun tahun lalu.

"Denden juga sudah tampil di semua lokasi konsert sebelum ini. Saya melihat ia bukan sahaja akan mendekatkan lagi penyanyi itu dengan para peminat Search, tetapi ia juga memberi lebih banyak keyakinan terhadapnya.

"Saya lihat orang sudah boleh terima Denden sekarang ini. Keberanian dia di atas pentas juga orang sudah mula nampak, apalagi kalau dia selalu buat persembahan. Memang dia ada 'progres' dan kita kenalah bagi dia lebih banyak pendedahan. Dia dalam proses memahami lagu dan lirik sekarang," katanya.

Yantoi yang pernah menganggotai kumpulan Lefthanded pernah terbabit bermain bass dalam album pertama Search berjudul Cinta Buatan Malaysia (1984) pula berkata, konsert ini satu peluang keemasan buat peminat di negeri berdekatan iaitu Terengganu dan Kelantan hadir menyaksikannya.

"Bagi saya, Kuantan ini 'blues', oleh kerana lagu-lagu Search ini 'blues', maka ramai rockers yang akan beri sokongan. Peminat yang berimej 'seluar koyak' dan mat blues pasti akan datang. Apatah lagi, harga tiket pun harga 'Rahmah'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 6:00 AM