SEARCH (dari kiri) dianggotai oleh Noordin, Kid, Denden, Minn dan Yan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SEARCH (dari kiri) dianggotai oleh Noordin, Kid, Denden, Minn dan Yan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Riadz Radzi

Kuala Lumpur: Kumpulan rock legenda, Search menampilkan kelainan apabila bakal mengadakan konsert di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, pada 11 Jun ini jam 9 malam.

Konsert yang dinamakan Rockin' On Rooftop itu juga adalah konsert Search pertama dengan anggota seperti Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Minn (dram) dan penyanyi baru mereka dari Indonesia, Denden Gonjalez.

Konsert anjuran kumpulan Search sendiri itu juga akan menampilkan kelainan terutama dari segi bunyian, pencahayaan, rekaan pentas dan pemilihan lagu.

Pengarah projek konsert berkenaan, Yusrizan Yusof berkata, dalam konsert itu Search dijangka mempersembahkan 14 hingga 17 lagu yang jarang dan tidak pernah mereka mainkan dalam konsert-konsert sebelum ini.

"Search ada banyak lagu dan peminat juga minta mainkan macam-macam lagu. Yang pasti, mereka akan bawakan lagu yang jarang mereka mainkan sebelum ini dan juga sesuai dengan vokal Denden.

"Lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam konsert dulu, peminat sudah hafal. Jadi, kali ini kita nak kelainan. Kita juga nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia.

"Ada juga album Search yang tidak betul-betul dipromosikan dulu seperti album Rampage. Ramai peminat sukakan album itu dan mungkin Search akan mainkan lagu-lagu dari album itu," katanya kepada Harian Metro.

Yusrizan berkata, rekaan pentas tanpa bumbung yang 'menghadiahkan' panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur juga adalah tarikan konsert berkenaan.

"Selain tidak berbumbung, pentas juga tidak mempunyai sebarang 'backdrop' seperti skrin LED dan sebagainya, sebaliknya penonton dapat menghayati keindahan malam bangunan pencakar langit Kuala Lumpur.

"Pastinya ia memberi impak menarik terutama dari segi fotografi dan visual yang akan akan diingati peminat sekali gus memberi pengalaman menarik buat mereka," katanya.

Menurut Yusrizan, pemilihan Kompleks Campbell yang menjadi 'port' rockers ketika era 1980-an juga dilihat bersesuaian.

"Kita akan beri apa yang peminat rock rindu. Selain itu, lokasi berkenaan juga strategik iaitu di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur," katanya.

Yusrizan berkata, bersama anggota terkini, Search ibarat bermula dari asas dan mereka kini fokus terhadap bunyian atau 'sound' yang dikeluarkan Search selepas ini.

"Search kini bersama penyanyi, pemain bass dan pemain dram baru, jadi amat penting untuk Search memiliki 'sound' yang 'standard'. Jadi, untuk konsert-konsert selepas itu, mereka ada 'sound' yang sudah ditetapkan.

"Apa yang kita buat adalah tentukan jurutera bunyi dan pasukan di peringkat awal lagi. Kita juga dalam proses mencari amplifier, gajet dan gear yang sesuai dengan Search. Dalam erti kata lain, muzik Search kali ini lebih segar," katanya.

Sementara itu, konsert berkenaan juga bakal menampilkan seorang penyanyi rock popular sebagai penyanyi undangan. Bagaimanapun, identiti penyanyi terbabit masih dirahsiakan.

Tiket-tiket konsert berharga RM88, RM198 dan RM298 boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell mulai jam 3 petang Jumaat ini, manakala untuk pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 2:08 PM