Omar Ahmad


SELEPAS kejayaan Konsert Search Rockin On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, Jun tahun lalu, Search yakin dapat mengulangi kehebatan itu dalam Konsert Search Voyage Of Asia yang akan berlangsung di Stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 25 November depan.

Pemain gitarnya, Noordin berkata, mereka juga akan membawakan lagu yang berbeza dan tidak sama dengan apa yang dibawakan sebelum ini.

"Kami tidak mahu asyik bermain lagu yang sama saja sedangkan kami ada banyak lagi lagu popular yang lain. Kalau dulu, kami kerap diminta membawakan lagu-lagu yang sama saja. Jadi, sekarang kami tak mahu seperti itu lagi," katanya dalam sidang media Konsert Search Voyage of Asia di Hard Rock Cafe, Puteri Harbor, Johor Bahru, baru-baru ini.

Hadir sama, pemain gitar Kid dan pemain bass, Yan. Selain mereka bertiga, Search turut dianggotai Denden Gonjalez (penyanyi) dan Minn (dram).

Noordin berkata, mereka juga akan terus mengekalkan Denden sebagai penyanyi.

Katanya, penyanyi dari Bandung, Indonesia itu mampu menyanyikan lagu-lagu Search yang jarang mereka mainkan sebelum ini.

Ditanya kenapa Johor menjadi lokasi pilihan konsert ini, Noordin berkata, Johor mempunyai pengaruh tersendiri selain Search sendiri berasal dari negeri itu.

"Pasti ramai peminat Search di sana ternanti-nanti dan merindui persembahan kami," katanya.

Sementara itu, penganjur konsert berkenaan, Adib Abdullah berkata, kemeriahan luar biasa juga akan dirasai dengan kemunculan XPDC band jemputan.

Katanya, tiket akan mula dijual pada 7 Julai ini dengan dua cara sama ada dalam talian dan pembelian fizikal.

"Kami mengaturkan perjalanan Konsert Search Voyage of Asia dengan Johor menjadi lokasi pertama. Selepas itu akan ke Sabah pada Februari tahun depan diikuti Bandung, Indonesia pada Oktober.

"Setiap lokasi kami akan menjemput artis berlainan. Selain itu, setiap lokasi juga Search akan membawa lagu yang berbeza seperti yang jarang dipersembahkan dalam mana-mana konsert mereka sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 6:30 AM