MUSS tampilkan persembahan bertenaga bersama Barbarik.
MUSS tampilkan persembahan bertenaga bersama Barbarik.
Ridzuan Abdul Rahman


SAMBUTAN hebat dengan kehadiran 7,000 peminat pada Konsert Double Trouble 2 berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini sudah cukup menggambarkan kehebatan kumpulan Barbarik dan legenda rock tanah air, Search.

Dilihat berada pada kelasnya tersendiri, sengatan berbisa Barbarik dan Search gabungan pemuzik otai bersama pelapis ini melahirkan aura luar biasa yang berjaya menarik peminat rock ke konsert anjuran Alpha Alpha ini.

Bertambah menarik, DT 2 menjadi bualan peminat yang hadir kerana menggunakan pencahayaan menarik memenuhi seluruh ruang lokasi konsert berlangsung.

Keterujaan peminat untuk menikmati persembahan hebat dan bertenaga ini menyala apabila Ismahalil Hamzah yang sudah lama dirindui tampil mengisi pentas pada jam 8.45 malam.

Ternyata skil Isma Halil yang dikenali sebagai deejay rocker, masih bertaring dan seperti biasa celotehnya berjaya menceriakan mereka. Seluruh stadium mengikut apa yang disebutkan.

Bagaimanapun, matlamat asal penonton tetap tidak terpesong untuk menyaksikan gandingan Barbarik dan Search yang menjanjikan kelainan dalam konsert terbabit.

Sebagai pembuka pentas, kedua-dua kumpulan bergabung menyampaikan lagu Balada Pemuzik Jalanan yang mula membawa khalayak ke arah keseronokan.

Barbarik yang diterajui Jo Branko (gitaris), Muss (vokalis) dan tiga pemuzik muda berkarisma iaitu Ainoll (dram), Rozaimie (gitar bass) dan Adi Yamin (keyboard/piano) seterusnya mula menggegarkan dengan lagu Raum, Mencari Asal Usul, 203, Idaman dan Hati Sulam Lain.

Energi bertenaga Muss dan rakan terutama Jo tidak disangkal lagi apabila peminat terus disogokkan dengan lagu Keris Tak Bersarung, Sakit Bantal Empuk dan Biru Mata Hitamku sebelum mereka berehat seketika.

Dalam persembahan Barbarik, Jo berjaya mencuri tumpuan ramai dengan kehebatannya memetik gitar sekali gus membuktikan dia adalah 'guitar hero'.

Search pula yang membariskan Noordin (pemain gitar), Kid (pemain gitar), Yan (pemain bass), Denden Gonjalez (vokalis) dan Minn (dram) tampil mencuri perhatian dengan lagu Di Pintu Sepi, Emanuelle, Pembakar Perasaan, Asli dan Tulus, Metropolitan, Rock n Roll Pie dan Pelesit Kota.

Kewibawaan Search sebagai kumpulan rock n roll terkenal tidak perlu dipertikaikan lagi. Pemilihan lagu pula menepati selera dan dekat dengan jiwa peminat rock sebenar.

Tidak ketinggalan ditampilkan adalah 'pertarungan' antara Minn dan Ainol yang membangkitkan semangat penonton. Dentuman 'paddle' silih berganti antara 'snare' dan 'tom tom' memberikan warna dalam muzik yang dibawakan.

Sesi rancak dan hebat ini diteruskan Barbarik menerusi lagu Padamkan Lampu Tidurmu, Gadisku dan Inspirasi Syakilla. Sementara Gadis Misteri pula menyaksikan duet Barbarik dan Search.

Kehangatan ini diteruskan lagi dengan lagu Kejora dan Blues Ular Sawa menerusi versi akustik yang amat sempurna.

Kemuncak persembahan sudah tentunya gandingan mereka menerusi lagu Gemuruh yang menjadi nama popular projek ini. Tetapi ia belum cukup menjadi klimaks konsert ini.

Peminat belum cukup puas dan mereka kemudian menyanyikan lagu Pasti yang disambut sorakan bergemuruh penonton.

Jo yang ditemui selepas konsert berkata, dia bersyukur berjaya memperlihatkan keupayaan dalam konsert ini.

"Saya puas'hati kerana ini adalah kolaborasi terbaik dengan Search. Sepanjang show saya dapat rasa aura yang hebat.

"Secara keseluruhan ia sangat bagus dan bahagian medley dalam konsert ini sesuatu yang baharu.

"Selalunya memang macam itulah jangkaan saya. Apabila dapat sokongan begini hebat, rasanya ia lagi berbaloi," katanya.

Bagi Muss, persembahan yang dibawakan pada malam itu sesuatu yang istimewa.

"Ia bukan sesuatu yang senang dan memang agak susah nak buat. Pada saya konsert ini memang istimewa. Gabungan ini bukan mudah.

"Paling 'special' saya berduet dengan Denden. Saya menyanyikan lagu Search menerusi medley dan ia satu pengalaman baharu," katanya.

Seperti Muss, Denden juga menganggap Double Trouble 2 adalah pengalaman membahagiakannya.

Noordin yang tersenarai antara 'guitar hero' berkata, dia sentiasa berasa puas dalam setiap konsertnya.

"Saya memang selalu puas macam 20 tahun dulu. Mungkin stamina kami kurang tapi yang penting semua momen yang kami bawakan buat orang 'enjoy'.

"Kami akan perbaiki persembahan agar lebih baik untuk konsert akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 6:00 AM