Redzuan Muharam

Ampang Jaya: "Saya percaya, tak semua orang terpilih dan dapat peluang kerja macam ini, maknanya, Allah sudah atur cantik rezeki saya di situ," kata Najwa Natasya Mat Ramli.

Najwa Natasya, 22, sebelum ini bekerja sebagai kerani di sebuah kilang namun kini, gadis itu beralih arah dengan mencari rezeki sebagai penjaga penghuni warga emas di Pusat Jagaan Nurul Jannah, di sini.

Sejak itu, masa Najwa Natasya banyak dihabiskan bersama dengan warga emas yang dihantar waris mereka ke situ dan melayani mereka seperti ibu dan bapa kandung sendiri.

Najwa Natasya berkata, dia pernah bekerja di pusat jagaan itu sebelum ini namun secara sambilan selama setahun iaitu sejak 2018 hingga 2019 sebelum menjadi kerani tetapi kembali bertugas selepas ditawarkan jawatan tetap.

Menurut Najwa Natasya, pengalaman lalu itu membantunya memahami skop kerjanya yang menuntut kekuatan fizikal dan mental.

"Sebelum terima tawaran kerja, saya tanya pandangan emak dan ayah dulu untuk minta restu mereka.

"Alhamdulillah, mereka okay saja dan sokong kerana saya ada pengalaman kerja sambilan sebelum ini dengan syarat pekerjaan itu halal.

"Bagaimanapun, ada segelintir rakan tak sokong dan kurang yakin sama ada saya boleh hadap beban kerja itu kerana tahu bukan mudah. Akan tetapi, saya teruskan juga kerana yakin dengan kemampuan diri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan cabarannya, Najwa Natasya berkata, dia seorang bertubuh kecil jadi agak sukar mengangkat penghuni terutama yang terlantar.

"Badan saya kecil, berat pula cuma 40 kilogram (kg) saja jadi cabaran utamanya adalah mengangkat penghuni misalnya nenek yang terbaring dan tak boleh berjalan untuk mandikannya.

"Itu cabaran utamanya kerana apabila dia keraskan badan maka beban bertambah namun kesukaran hanya dirasai pada awal dulu saja.

"Lama kelamaan, saya sudah lali kerana ada ketika dapat bantuan daripada kakitangan lain cuma kebanyakan masa perlu angkat penghuni berseorangan.

"Jujurnya, memang tak mudah kerana perlu pegang mereka betul-betul kerana ada yang agresif jadi perlu kendalikan dengan baik bagi mengelak ditendang," katanya.

 TANGKAP layar video Natasya Mat Ramli melakukan  rutin menjaga warga emas di pusat jagaan. IHSAN TikTok Natasya Mat Ramli
TANGKAP layar video Natasya Mat Ramli melakukan rutin menjaga warga emas di pusat jagaan. IHSAN TikTok Natasya Mat Ramli

Berkongsi lagi pengalaman, Najwa Natasya berkata, terlalu banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang bekerja sebagai penjaga di pusat jagaan.

"Ada satu hari, saya nak uruskan seorang penghuni dan entah macam mana, dia bertindak melempar najisnya tepat ke muka saja.

"Mengenangkan dia warga emas, saya hanya gelak saja kerana tahu jika marah, mereka akan jerit semula kepada saya.

"Paling saya takutkan adalah jika tertengking mereka dan itu yang cuba saya elakkan kerana tahu hati orang tua sangat sensitif.

"Apa yang saya boleh buat adalah bersabar dan setiap hari, saya doa kepada Allah untuk beri kekuatan bagi menjaga penghuni di situ supaya tugas harian saya berjalan lancar kerana niat cuma nak cari rezeki," katanya.

Najwa Natasya berkata, kepuasannya adalah apabila dapat membantu menjaga penghuni yang mempunyai 'bedsore' (luka) di belakang badan hingga luka mereka sembuh.

"Bagaimanapun, pernah juga timbul sedih apabila penghuni dijaga setiap hari meninggal dunia dan ada satu ketika, saya berasa ralat sangat tidak dapat ada dengannya pada akhir hayat,"katanya.

Menurut Najwa Natasya, sasarannya adalah untuk bekerja di situ selama tiga tahun saja sebelum mencari peluang lain yang lebih baik.

"Saya ada mengikuti kursus penjagaan dan jika ada rezeki nanti, saya mahu menjaga individu perseorangan dalam kalangan orang kenamaan (VIP) pula.

"Moga ada rezeki saya di kemudian hari dan berhubung perkongsian di TikTok pula, saya tak sangka video dimuat naik dapat perhatian ramai.

"Ia kerana saya cuma kongsi pengalaman dan tak sangka video itu boleh jadi tular," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 8:00 PM