ARTIS bersama Rosmah beramah mesra dengan penghuni Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.
ARTIS bersama Rosmah beramah mesra dengan penghuni Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Permata (Program Asuhan dan Didikan Awal) melancarkan satu lagi program baru yang dinamakan Permata Prihatin. Ia menyaksikan Permata mendekati masyarakat bagi tujuan mendidik peserta agar mempunyai kesedaran dalam memberikan sumbangan khidmat bakti secara sukarela kepada mereka yang memerlukan.

Program ini memfokuskan tiga kumpulan sasar yang membabitkan golongan kurang bernasib baik dan terpinggir iaitu komuniti secara keseluruhannya, pusat jagaan warga emas dan rumah anak yatim.

Sebagai permulaan, program Permata Prihatin diadakan di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Pulau Meranti, Cyberjaya pada Sabtu lalu.

Menurut Penaung Projek Permata Negara (PERMATA) yang juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, program selama sehari itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Program Permata Prihatin ini akan dilaksanakan secara bersepadu dengan membabitkan penyertaan peserta daripada beberapa program Permata. Ia akan menjadi sebahagian daripada aktiviti rutin Permata.

“Kekerapannya mengikut kesesuaian sama ada dua atau tiga kali setahun membabitkan kumpulan sasar yang berbeza,” katanya.

Istimewanya, pada acara berkenaan, Rosmah turut meraikan sambutan ulang tahun warga emas. Mereka diraikan dengan persembahan koir, tarian dan muzik daripada anak-anak Permata Seni.

Selain membabitkan 120 anak program Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan dan Perkasa Remaja, aktiviti ini turut diserikan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air seperti Fattah Amin, Hisyam Hamid, Fathia, Shukri Yahaya dan Lan Pet Pet.

Bagi pelakon drama Dia...Isteri Luar Biasa, Shukri Yahaya, 27, program berkenaan menyedarkannya betapa pentingnya kasih sayang antara anak dan ibu bapa.

“Ini adalah pengalaman pertama saya terbabit dengan program sebegini. Terharu dan sebak apabila dapat meluangkan masa berbual dengan penghuni rumah jagaan.

“Berdasarkan cerita mereka, kebanyakannya ditinggal anak. Kisah mereka menjadikan saya lebih menghargai ibu bapa. Walau apa jua yang terjadi, ibu bapa tidak patut diabaikan. Jangan apabila sudah hidup senang, mereka terus dilupakan,” katanya yang mahu memperbanyakkan kerja amal selepas ini.

Kasihan melihat keadaan warga tua yang ada di rumah jagaan itu, Shukri kecewa dan marah dengan sikap tidak bertanggungjawab anak penghuni berkenaan.

“Saya ingatkan hanya dalam drama sahaja, rupa-rupanya ia memang wujud. Rasa marah sangat apabila anak yang dididik dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang membuang ibu bapa mereka.

“Seandainya saya tidak ada komitmen lain, mahu saja saya duduk dan menjaga penghuni di sini. Terfikir juga, mana perg­inya hati dan perasaan anak-anak mereka sehingga sanggup berbuat demikian,” katanya yang berjanji akan menjaga dan membahagiakan ayah bonda selagi nyawa di kandung badan.

Hisyam Hamid lepas rindu

Berbeza dengan Shukri, aktor Hisyam Hamid, 30, menggunakan kesempatan yang ada untuk melepaskan rindu dengan warga tua yang ada. Menurut Hisyam, sejak kematian datuknya tahun lalu, dia hilang tempat bermanja dan mengadu.

“Semasa arwah masih hidup, saya sangat rapat dengannya. Apabila beramah mesra dengan penghuni rumah jagaan ini, hati saya jadi sayu. Saya teringatkan arwah datuk.

“Melalui cerita mereka, saya dapat rasakan kesunyian yang dilalui. Mungkin disebabkan itu mereka sangat menghargai kunjungan kami. Sebolehnya mereka mahu kami sentiasa ada dengan mereka,” katanya yang sudah beberapa kali menganjurkan aktiviti dan kerja amal bersama ahli kelab peminat.

Pengalaman berada di pusat jagaan berkenaan menjadikan Hisyam lebih menghargai orang tuanya.

“Bagi yang masih memiliki ibu bapa, hargailah mereka. Ingatlah, di dalam dunia ini tidak ada ibu bapa yang tidak sayangkan anak. Jadi, sebagai anak jangan persiakan mereka.

“Bukan apa, kita sendiri pun tidak tahu nasib apabila tua kelak. Saya selalu ingatkan anak-anak supaya bersyukur dan menghargai kehidupan. Saya sering berikan perbandingan kepada mereka berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling. Daripada situ mereka akan lebih faham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 2:04 PM