LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua yang mendoakan," kata Nur Natasya Rasid yang juga ibu kepada penghidap barah mata, Nur Mardhiah Shahadah.

Nur Natasya, 24, memberi reaksi itu bagi menzahirkan kesyukuran selepas anak bongsunya, Nur Mardhiah, 3, selamat menjalani pembedahan suntikan steroid dan membuang lebihan daging pada mata kiri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.

Menurut Nur Natasya, pembedahan itu mengambil masa selama 85 minit bermula 12.50 tengah hari.

Katanya, tiada komplikasi berlaku dan alat kemoterapi (kemo pod) yang sebelum ini dipasang pada bahagian dada Nur Mardhiah juga selamat ditanggalkan sewaktu prosedur pembedahan dilakukan.

"Anak saya dimasukkan ke wad kelmarin dan selamat menjalani pembedahan, semalam.

"Tiada masalah cuma menurut doktor, tahap penglihatan mata kanan menurun begitu juga dengan berat badannya.

"Nur Mardhiah juga perlu meneruskan rawatan suntikan steroid selain menghadiri temujanji dengan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) pada 8 Januari depan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NUR Mardhiah selamat menjalani pembedahan suntikan steroid dan membuang lebihan daging pada mata kiri di HKL. FOTO Ihsan Nur Natasya Rasid
NUR Mardhiah selamat menjalani pembedahan suntikan steroid dan membuang lebihan daging pada mata kiri di HKL. FOTO Ihsan Nur Natasya Rasid

Menurut Nur Natasya, dia berterima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan wang ringgit selaij memberi kata semangat sejak kisahnya bersama suami, Muhammad Iqmal Ramli dan Nur Mardhiah tular di laman sosial.

"Urusan kami dipermudahkan kerana setibanya di Kuala Lumpur Isnin lalu,ada hamba Allah menawarkan untuk membayar penginapan di hotel.

"Malam tadi pula, sepasang suami isteri kenamaan menawarkan tempat untuk kami bermalam.

"Itu belum lagi sumbangan wang ringgit yang disalurkan ke dalam akaun bank. Terima kasih saya ucapkan, hanya Allah SWT saja mampu membalasnya," katanya

Menurut Nur Natasya, dia, suami dan anaknya selamat tiba di rumahnya di Taman Meru Ipoh, Perak kira-kira jam 2 petang hari iniu.

"Kami bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira 11 pagi tadi dan pulang ke rumah menaiki kereta pacuan empat roda dipandu individu sama yang menumpangkan kami ke HKL ,tempoh hari," katanya.

Selasa lalu, portal Harian Metro menyiarkan kisah Nur Natasya dan suaminya, Muhammad Iqbal yang sanggup menunggang motosikal Taman Meru, Ipoh, Perak dan meredah hujan lebat untuk untuk menghantar anak istimewanya ke HKL .

Bagaimanapun, tiga beranak itu bernasib baik apabila ada individu menumpangkan mereka ketika dalam perjalanan iaitu di Tanjung Malim, Perak.

Kisah mereka tular di laman sosial selepas Nur Natasya memuat naik hantaran di Facebook (FB).

Berita berkaitan

Alhamdulillah, perjalanan bermula sukar akhirnya dipermudahkan

Manisnya senyuman Nur Mardhiah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 8:14 PM