Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Walaupun hanya bapa tiri namun Muhammad Iqmal Ramli melayan Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi, 5, seperti anak kandungnya sendiri.

Buktinya, Muhammad Iqmal, 27, sanggup menerima Nur Mardhiah Shahadah walaupun tahu daripada awal anak tirinya yang mesra disapa Mardhiah itu menghidap barah mata yang menyebabkan penglihatan kiri buta dan rabun di sebelah kanan.

Muhammad Iqmal mengakui keadaan Mardhiah menyebabkannya tidak dapat bekerja tetap kerana perlu membantu isteri, Nur Natasya Rasid, 26, menguruskan kanak-kanak itu.

Ini kerana Mardhiah juga menderita masalah usus, hati bengkak, paru-paru kronik dan kaki bengkok menyebabkan pergerakannya terbatas hingga terpaksa menggunakan alat sokongan.

Bagaimanapun, Muhammad Iqmal reda kerana baginya, kesihatan Mardhiah adalah perkara utama.

"Saya pernah kerja di kedai makan tetapi tak sampai seminggu terpaksa berhenti untuk uruskan Mardhiah yang perlu dibawa ke hospital. Jadi, saya ambil upah sebagai penghantar barang saja atau bantu emak jual serunding.

"Ikutkan, sudah lebih 30 kali Mardhiah jalani pembedahan dan sepanjang tempoh itu juga saya serta isteri berulang alik dari rumah kami di Taman Kledang, Sungai Siput, Perak untuk membawanya menjalani rawatan serta pembedahan di Kuala Lumpur.

"Saya belum sampai tahap putus asa walaupun kadang-kadang tertekan juga cari duit kerana dia (Mardhiah) juga pembawa rezeki. Buktinya, ada tawarkan saya kerja disebabkan mengenalinya (Mardhiah)," katanya ketika ditemui di lobi Balai Berita News Straits Times Press (NSTP), Bangsar, di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Iqmal, barah mata Mardhiah sudah berada di tahap lima sejak awal tahun ini dan tahap kesihatannya kini agak merosot.

Berikutan itu, doktor mengesyorkan Mardhiah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di telinga kanan dan kirinya.

"Telinga kanan Mardhiah sudah tidak dapat mendengar sepenuhnya manakala yang kiri 50 peratus saja. Mata kiri sudah lama buta dan penglihatan kanan pula rabun jauh. Ikutkan dia patut menjalani pembedahan pada 15 Jun lalu tetapi ditangguhkan ke 29 Jun kerana Mardhiah dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

"Terbaru, doktor maklumkan pembedahan Mardhiah ditangguhkan pada 6 Julai depan dan kami perlu ke Kuala Lumpur 28 Jun ini.

"Jauh lagi perjalanan Mardhiah untuk sembuh dan diharap penyakitnya dapat perhatian doktor luar negara juga kerana di Malaysia tiada penyakit sepertinya," katanya yang berterima kasih kepada individu pernah menyumbang buat anaknya.

Sementara itu, isterinya, Nur Natasya berharap ada keajaiban buat Mardhiah sembuh kerana sudah lama melihat anaknya itu menderita.

"Kalau ada pakar luar (negara) boleh bantu Mardhiah saya dan suami alukan juga kerana tak sampai hati tengok dia terus begitu. Jika ikut faktor kewangan memang tidak mampu hantar Mardhiah berubat di luar negara.

"Jadi, saya dan suami reda cuma setiap kali ada pembedahan, saya jadi sangat gementar walaupun ia cuma (pembedahan) yang kecil saja," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Mardhiah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7634138054 atas nama Muhammad Iqmal Ramli.

Muhammad Iqmal (kiri) bersama Nur Mardhiah dan Nur Natasya ketika temubual di Harian Metro. FOTO SHAHRUL M ZAIN
Muhammad Iqmal (kiri) bersama Nur Mardhiah dan Nur Natasya ketika temubual di Harian Metro. FOTO SHAHRUL M ZAIN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 6:07 PM