AZRAIE dan Sarrul Munirah biasakan anak mendengar alunan al-Quran sejak mereka kecil.
AZRAIE dan Sarrul Munirah biasakan anak mendengar alunan al-Quran sejak mereka kecil.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Demi memastikan anak kekal istiqamah membaca dan cintakan al-Quran, seorang guru agama sanggup memasang lima pembesar suara di rumahnya.

Pendekatan unik dilakukan Azraie Abdul Hak, 43, dan isteri, Sarrul Munirah Haris, 40, ternyata berkesan membudayakan al-Quran dalam kehidupan keluarganya sekali gus membolehkan semua anaknya lebih cemerlang dalam pertandingan tilawah al-Quran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Menurut Azraie, idea memasang pembesar suara termasuk di ruang tamu dan dapur demi memastikan anak sentiasa diperdengar dengan bacaan al-Quran sekali gus meningkatkan kecintaan terhadap kalam Allah SWT.

Katanya, berikutan kekangan kerja, dia dan isteri tidak boleh berada dengan anak di rumah setiap masa.

"Jadi, pembesar suara ini secara tidak langsung menjadi alat kami mengajar dan berkomunikasi dengan anak yang sudah mahir membaca dan melagukan al-Quran.

"Misalnya, bila saya dan isteri membaca al-Quran di dalam bilik, anak boleh dengar ketika sedang menonton televisyen, baca buku ataupun bermain permainan video. Nak panggil solat pun mudah," kata Azraie ketika ditemui di rumahnya di Taman Koperasi, Serkam Darat, Merlimau di sini.

Azraie yang juga Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang berkata, dalam mempelajari al-Quran, paling penting adalah istiqamah dan jika tidak boleh membaca, boleh dengar orang lain mengaji.

"Saya sendiri mengajar al-Quran dalam talian, contohnya jika ada kesilapan saya akan terus tegur. Jadi, anak dapat belajar bersama dengan adanya pembesar suara.

"Kadangkala saya terlepas pandang, anak datang ke bilik tegur bacaan pelajar saya. Jadi, ini satu cara mendidik anak apabila alunan ayat-ayat suci al-Quran sentiasa menjadi halwa telinga mereka," katanya lagi.

Berasal dari Kedah, Azraie mengakui, biarpun beliau dan isteri datang daripada keluarga cemerlang al-Quran serta pernah menjuarai tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa, bukan mudah mendidik anak mengikuti jejak mereka.

Katanya, seelok-eloknya pada peringkat awal lagi ibu bapa perlu menanamkan minat mengaji al-Quran sebelum mendalami al-Quran ke peringkat seterusnya.

"Saya dan isteri fokus mengajar bacaan al-Quran dan taranum kepada anak selepas solat Maghrib hingga ke Isyak setiap hari secara bertalaqi. Jika baca seorang bimbang berlaku kesalahan.

"Kami juga membudayakan al-Quran dengan membacanya pada kebanyakan masa termasuk di dalam kereta hingga pernah tular suatu ketika dulu," katanya.

Bercerita mengenai keluarganya, Azraie berkata, arwah bapanya, Datuk Abdul Hak Abdullah adalah sumber inspirasinya dalam mendalami al-Quran termasuk berguru di Terengganu, Kelantan dan Johor.

"Bapa saya pernah muncul johan Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa sebanyak empat kali, manakala ibu dan bapa mentua juga johan tilawah di peringkat Melaka.

AZRAIE dan Sarrul Munirah bersama anak mereka.
AZRAIE dan Sarrul Munirah bersama anak mereka.

"Rezeki saya bertemu jodoh dengan isteri juga terbabit dalam tilawah al-Quran dan kami menggabungjalinkan ilmu untuk didik anak," katanya.

Untuk rekod Azraie yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Tafsir dari Universiti Al-Azhar, Mesir pernah dinobatkan juara Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Kuwait pada 2018.

Isterinya, Sarrul Munirah yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Melaka pula pernah menjuarai Tilawah Dunia Melayu dan Dunia Islam peringkat antarabangsa pada 2014.

Kejayaan mereka dicontohi empat anak apabila anak sulung perempuan, Athirah, 19, muncul johan Tilawah al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah peringkat kebangsaan pada 2016 manakala anak kedua, Ahmad Asyraf, 18, dan ketiga, Ahmad Abrar, 16, pula muncul juara pertandingan sama pada 2017 dan 2019.

Anak keempat, Arifah,13, pula muncul naib johan Tilawah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) peringkat kebangsaan pada 2020.

Sementara itu, anak kelima daripada tujuh beradik pasangan ini, Ahmad Azfar, 11, pula muncul juara Musabaqah Tilawah al-Quran 'Mazamir Dawud' Edisi Ke-7 kategori bawah umur 15 tahun peringkat antarabangsa di Algeria 2022 serta juara Tilawah Kafa peringkat kebangsaan pada 2021 dan 2022.

Ahmad Azfar turut meraih tempat kedua Tilawah Tijan Nour Qatar peringkat antarabangsa yang dianjurkan secara dalam talian pada awal 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 7:01 AM