ANUGERAH Tokoh Hijratul Rasul yang diperoleh sempena Sambutan Maal Hijrah.
ANUGERAH Tokoh Hijratul Rasul yang diperoleh sempena Sambutan Maal Hijrah.
Hidayatidayu Razali


KEMERDUAN suaranya ketika memperdengarkan bacaan al-Quran dengan taranum pasti menusuk kalbu sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Hati juga menjadi tenang sebaik mendengar lantunan suara Datuk Faridah Mat Saman mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran.

Jadi tidak hairan, ibu kepada sembilan cahaya mata ini dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa sebanyak lapan kali sejak 1964 sehingga 1991.

Biarpun sudah menginjak usia 73 tahun, namun suara alunan bacaan al-Quran nenek kepada 22 cucu ini masih kekal merdu dan tidak pernah berubah.

Berbekalkan pengalaman luas, beliau kini mengadakan kelas mengaji al-Quran dan taranum untuk melahirkan lebih ramai pelapis muda.

Faridah berkata, kecenderungannya itu sudah tercetus sejak berusia empat tahun apabila mendapat pendedahan awal daripada datuk, Allahyarham Abdul Rahman dan ibunya, Allahyarhamah Che Yam Che Had.

"Ibu dibesarkan di Makkah kerana mengikut ayahnya (datuk) menuntut ilmu di sana sebelum menjadi qariah. Dia sering mendapat jemputan untuk membaca al-Quran bukan sahaja di Kelantan, malah di Kuala Lumpur.

"Selain itu, saya juga melihat datuk yang juga qari sentiasa membaca al-Quran dan secara tidak langsung timbul minat saya untuk mendekati al-Quran seterusnya menjadi qariah," katanya di rumahnya di Jalan Merican, Telipot, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, bakat membaca al-Quran secara taranum sebenarnya datang dengan sendiri.

"Pada masa sama, saya turut belajar dengan datuk, ayah, ibu dan beberapa guru yang lain termasuk johan qari peringkat antarabangsa, Ahmad Mat Som atau lebih dikenali sebagai Ahmad Maasom Pergau dan tokoh agama serta guru al-Quran, Datuk Nik Jaafar Nik Ismail," katanya.

Katanya, seawal usia 14 tahun, dia mula menyertai pertandingan besar dan dinobatkan sebagai naib johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan.

Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dengan menyertai lagi tilawah al-Quran dan dinobatkan pula sebagai johan peringkat kebangsaan serta antarabangsa ketika berusia 16 tahun.

Selain itu, Faridah juga menerima beberapa anugerah daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri kerana jasanya mengharumkan negara.

Di samping itu, beliau turut menerima Darjah Panglima Jasa Negara (P.J.N) 2016 daripada Yang di-Pertuan Agong Yang Keempat Belas, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Almarhum Sultan Badlishah.

MASIH mengekalkan kemerduan suara.
MASIH mengekalkan kemerduan suara.

Beliau berkata, antara penyumbang kepada kejayaannya adalah sokongan dan dorongan Allahyarham suaminya, Mejar (B) Hizam Suriadi yang meninggal dunia pada 2014 ketika berusia 91 tahun.

"Arwah suami yang pencen pada usia 48 tahun banyak membantu menjaga anak ketika saya keluar untuk bertanding atau mengajar al-Quran.

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada arwah suami," katanya.

Jelasnya, pada ketika ini, beliau masih mengajar al-Quran dan taranum kepada golongan dewasa yang juga guru al-Quran secara bersemuka dan da

lam talian.

"Jika sebelum Covid-19, lebih 100 pelajar datang belajar di rumah, namun sejak pandemik melanda kebanyakan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara dalam talian.

"Namun, ada beberapa individu yang masih belajar secara bersemuka dengan penjarakan fizikal yang sesuai.

"Bagi yang belajar secara dalam talian, kebanyakan mereka sudah mempunyai asas bacaan al-Quran secara taranum. Ini untuk memudahkan mereka fahami apa yang saya ajar," katanya.

Ditanya berkenaan penjagaan suara, beliau hanya mengamalkan mengaji al-Quran pada setiap hari sama ada selepas solat Subuh atau waktu solat fardu lain selain pada masa lapang.

Katanya, membaca al-Quran dengan kerap bukan sahaja mampu meningkatkan daya ingatan, malah ia dapat menambah baik kualiti bacaan.

"Pada masa sama, saya sering menerima kunjungan daripada bakal peserta pertandingan membaca al-Quran secara taranum untuk membaiki mutu bacaan," katanya.

Tambahnya, walaupun sembilan anak tidak mengikut jejak langkahnya dengan menjadi qari atau qariah, namun dia tetap bersyukur semuanya

boleh membaca al-Quran dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:00 AM