Mahaizura Abd Malik


“AKTIVITI ini (bertaranum) sudah menjadi amalan kami. Bukan setakat semasa di dalam kereta, malah ketika di rumah pun kami bertaranum sampaikan anak berlumba-lumba mengikut rentak taranum saya dan isteri,” kata Azraei Abdul Hak, 38.

Dia bersama isteri Sarrul Munirah Haris, 35, dan lima anaknya berusia antara enam hingga 14 tahun popular sekelip mata selepas rakaman video mereka sekeluarga bertaranum di dalam kereta tular di media sosial.

Katanya, video tular sejak kelmarin itu dirakam Sabtu lalu ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Tenggaroh, Mersing, Johor untuk menziarahi sanak-saudara di Pekan Nanas, Pontian.

Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang, Melaka, berkata bertaranum terutama ketika waktu lapang adalah rutin harian bersama isteri dan anak.

“Semua bermula selepas anak pandai bertutur. Duduk saja-saja dekat rumah... sidai baju pun kami bertaranum anak-beranak.

“Malah, mikrofon memang saya letak siap-siap dalam kereta untuk memudahkan kami bertaranum semasa dalam perjalanan, tak kira destinasi itu jauh atau dekat.

“Biasanya saya mulakan dulu dengan membaca surah pendek, diikuti anak-anak secara bergilir-gilir. Isteri betulkan bacaan mereka kalau ada kesilapan memandangkan saya kena fokus kepada pemanduan,” katanya.

Bagi Azraei, amalan itu dianggap lebih berfaedah jika dibandingkan daripada sekadar mendengar lagu sepanjang perjalanan, bagaimanapun tetap bergantung kepada ‘mood’ anaknya.

Menurutnya, berdasarkan kepada pengalaman sebagai guru agama tahap celik al-Quran dalam kalangan kanak-kanak masih rendah.

Berikutan itu Azraei, berharap amalan keluarganya menjadi ikutan kanak-kanak dan ibu bapa mereka kerana pembelajaran al-Quran tidak semestinya dilakukan di dalam kelas atau secara formal.

“Perlu difahami, membaca al-Quran dan bertaranum dua aspek berbeza. Jadi saya hendak jadikan taranum ini satu pendekatan bagi menarik minat anak seronok membaca al-Quran macam menyanyi berbanding membaca saja tanpa taranum mereka cepat bosan.

“Saya nampak dengan bertaranum, mereka lagi minat dengan al-Quran,” katanya.

AZRAEI bertaranum dalam kereta hingga mendapat reaksi positif daripada netizen. FOTO Ihsan Pembaca
AZRAEI bertaranum dalam kereta hingga mendapat reaksi positif daripada netizen. FOTO Ihsan Pembaca

Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2018 di Kuwait, April lalu itu berkata, dia mahu menjadikan laman sosial sebagai medium dakwah berikutan kanak-kanak masa kini lebih banyak menghabiskan masa serta peka dengan perkembangan terkini gajet.

“Alhamdulillah, saya nampak cara saya ini menunjukkan kesan apabila 98 peratus komen yang saya terima positif, mereka bukan saja kagum malah mahu mengikut apa kami lakukan.

“Bagi saya benda baik ini apabila ada orang ikut, secara tak langsung saya dapat sisa saham akhirat untuk bapa dan arwah emak saya.

“Jadi inilah tujuan dan niat sebenar saya bukan untuk menunjuk-nunjuk, namun jika ada orang pandang negatif, terpulanglah kepada mereka,” katanya.

Setakat semalam, rakaman video berdurasi 4 minit 58 saat yang dimuat naik di Facebook peribadi bapa kepada enam anak berusia setahun hingga 14 tahun itu meraih 791,000 kali tontonan serta 17,000 perkongsian dengan majoriti netizen memberikan komen positif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 11:02 PM
PETIKAN rakaman video anak-anak Azraei bertaranum dalam kereta tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
PETIKAN rakaman video anak-anak Azraei bertaranum dalam kereta tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca