Ahmad Azfar Azraie
Ahmad Azfar Azraie
Oleh Rosman Shamsudin


Kuala Lumpur: Siapa sangka, walaupun masih muda, seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang, Melaka bukan sahaja berjaya melakar sejarah, malah mengharumkan nama negara dalam pertandingan tilawah al-Quran di peringkat antarabangsa, baru-baru ini.

Anak kelima daripada tujuh beradik, Ahmad Azfar Azraie yang berusia 10 tahun muncul juara Musabaqah Tilawah al-Quran Mazamir Dawud Edisi Ke-7 kategori bawah umur 15 tahun yang berlangsung di Algeria.

Menariknya, dia sememangnya dilahirkan dalam keluarga yang mendominasikan tilawah al-Quran selepas ayahnya, Azraie Abdul Hak, 42, dan ibu, Sarrul Munirah Haris, 39, juga pernah juga muncul juara Tilawah al-Quran di peringkat antarabangsa pada tahun 2018 dan 2014.

Malah, kakaknya, Athirah, 18, dan dua abangnya, Ahmad Asyraf, 17, dan Ahmad Abrar, 15, juga pernah muncul juara pertandingan Tilawah al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2016, 2017 serta 2019.

Di samping itu, Arifah, 12, pula pernah muncul naib johan Tilawah al-Quran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada tahun 2020.

Lebih menarik, datuk insan kecil itu, Datuk Abdul Hak Abdullah juga tidak asing dalam dunia tilawah al-Quran dan boleh diiktiraf sebagai Qari Legenda selepas pernah muncul johan Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa sebanyak empat kali.

AHMAD Azfar bergambar kenangan bersama peserta dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Mazamir Dawud Edisi Ke-7.
AHMAD Azfar bergambar kenangan bersama peserta dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Mazamir Dawud Edisi Ke-7.

Sebenarnya, bakat yang diwarisi dari ahli keluarga sendiri mula menyerlah selepas dia dinobatkan juara Tilawah al-Quran KAFA peringkat kebangsaan pada tahun 2021 dan 2022.

Ahmad Azfar mengakui kejayaan itu adalah kejayaan kedua di peringkat antarabangsa pada tahun ini.

Katanya, kejayaan pertama yang dia kecapi selepas muncul naib johan Tilawah Tijan Nour Qatar peringkat antarabangsa yang dianjurkan secara dalam talian pada awal tahun ini.

"Sejak umur empat tahun lagi, selepas solat Maghrib saya mempelajari dan melagukan al-Quran daripada ayah, ibu dan adik beradik yang lain.

"Apabila memasuki alam persekolahan pula, pada sebelah siang, saya lebih fokuskan pada ilmu akademik dan mendalami al-Quran selepas solat Maghrib.

"Ibu bapa dan adik beradik serta ahli keluarga yang lain banyak membantu dan memberi motivasi kepada saya sehingga dapat mengecapi kejayaan yang sungguh berharga kepada saya," katanya kepada Harian Metro.

KELUARGA Ahmad Azfar meraikan kejayaannya menjuarai Musabaqah Tilawah al-Quran Mazamir Dawud Edisi Ke-7 kategori bawah umur 15 tahun yang berlangsung di Algeria.
KELUARGA Ahmad Azfar meraikan kejayaannya menjuarai Musabaqah Tilawah al-Quran Mazamir Dawud Edisi Ke-7 kategori bawah umur 15 tahun yang berlangsung di Algeria.

Pertandingan tilawah terbabit dianjurkan oleh TV Syuruq Algeria disertai kira-kira 50 negara, tetapi hanya 18 peserta sahaja terpilih dalam pusingan akhir yang berlangsung di negara berkenaan.

Dia terpaksa mengharungi empat pusingan saringan sebelum berjaya memasuki pertandingan akhir dan muncul juara dalam kategori terbabit.

Sepanjang 15 hari berada di sana, dia ditemani oleh ayah dan semua perbelanjaan ditanggung oleh tuan rumah pertandingan berkenaan.

Dia yang bercita-cita bergelar Imam Masjid Negara pada suatu hari nanti berkata, berkat melazimi al-Quran selama ini menyebabkan dia berjaya mengharungi cabaran pertandingan terbabit walaupun penganjur menetapkan ayat al-Quran yang berlainan setiap pusingan.

"Kejayaan ini sudah tentu memberi suntikan semangat dan motivasi kepada saya untuk terus mempelajari dan mendalami al-Quran yang menjadi pegangan dan panduan umat Islam dalam kehidupan seharian.

"Malah, kejayaan ini juga bukanlah kejayaan saya seorang, tetapi kejayaan buat rakyat dan negara Malaysia yang tercinta," katanya.

Sementara itu, Azraie pula berkata, sebagai ayah sudah tentu dia bersyukur dan berbangga dengan kejayaan anaknya sehingga di peringkat antarabangsa.

Katanya, pertandingan yang disertai oleh anak lelakinya itu direstui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

"Saya mula mengesan minat dan bakat anak saya dalam tilawah sejak dia berumur empat tahun lagi, di mana dia suka mengikut membaca dan melagukan al-Quran ketika kami sekeluarga membaca al-Quran.

"Sebagai bapa dan juga pernah menyertai pertandingan tilawah, sudah tentu saya memberi semangat dan membantu mengajar anak mendalami al-Quran.

"Kejayaan ini diharapkan mampu memberi inspirasi kepada dia supaya lebih gigih berusaha agar dapat mencapai kejayaan di dunia dan akhirat," katanya.

Dia yang tinggal di Ayer Keroh, Melaka dan berkelulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, sebagai ibu bapa, perlu banyak bersabar dengan kerenah anak-anak terutama ketika mengajar mereka al-Quran.

Katanya, sebaik-baiknya pada peringkat awal perlu tanamkan minat mengaji atau belajar al-Quran terlebih dahulu sebelum mendalami al-Quran ke peringkat seterusnya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, Jakim, ahli keluarga dan sahabat serta semua yang mendoakan kejayaan buat anak saya.

"Saya berharap, semoga kejayaan anak saya mampu memberi pengalaman dan motivasi kepada dia serta bermanfaat kepada umat Islam pada masa akan datang," katanya.

Dia yang juga guru Pendidikan Islam di SK Bukit Beruang mengakui kejayaan itu juga diharapkan mampu memberi suntikan motivasi dan memberi inspirasi kepada seluruh rakyat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 12:00 PM