(kiri) NURAQILA Syamila sebak ketika menyarung cincin ke tangan bakal adik iparnya. (kiri) Gambar kenangan bersama keluarga. FOTO Ihsan Nuraqila Syamila
(kiri) NURAQILA Syamila sebak ketika menyarung cincin ke tangan bakal adik iparnya. (kiri) Gambar kenangan bersama keluarga. FOTO Ihsan Nuraqila Syamila
Noor Hidayah Tanzizi


Rawang: Sebak hati seorang anak sulung apabila mengambil tugas ibunya untuk menyarung cincin pertunangan buat satu-satunya adik lelaki.

Nuraqila Syamila Ismail, 28, menitiskan air mata selepas terkenangkan Allahyarham ibunya, Khalidah Za'aba ketika menyarung cincin di jari tunang adik lelakinya, Muhammad Azhad, 25.

Lebih menyedihkan, majlis itu juga tanpa kehadiran bapanya, Allahyarham Ismail Abd Mutalib yang meninggal dunia kerana serangan jantung, April tahun lalu.

Nuraqila Syamila berkata, sebagai anak sulung dia tetap mahu menyarung cincin pertunangan itu bagi mewakili ibu mereka yang meninggal dunia kerana tekanan darah rendah pada 2014.

Menurutnya, majlis pertunangan adik keduanya itu dijalankan serentak dengan majlis merisik

di rumah tunangan adiknya di Bachang, Melaka pada 29 Oktober lalu.

"Saya sebak sangat apabila adik lelaki mesej adik bongsu (Nuralya Syamila, 23) beritahu dia sedih kerana ayah dan umi tiada bersama ketika dalam perjalanan ke rumah tunangnya.

"Kami menangis mengenangkan 'syurga' kami tiada pada majlis itu terutama arwah ayah yang pernah cakap sebelum ini mahu (melihat) adik lelaki berkahwin.

"Malah, ayah juga sudah mengenali tunang adik sebelum ini tetapi ketika itu mereka hanya rakan sekelas sahaja," katanya yang tinggal di Rawang ketika dihubungi.

Katanya, rombongan meminang diketuai bapa saudara bersama ahli keluarga lain dan cincin merisik disarungkan ibu saudara mereka.

"Memang sedih kerana adik satu-satunya anak lelaki dalam keluarga serta urusan meminang tidak dapat diuruskan ayah dan umi. 

"Tetapi kami tetap bersyukur ada bapa dan ibu saudara serta ahli keluarga lain yang banyak sangat membantu kerana banyak perkara yang kami tak tahu," katanya.

Nuraqila Syamila berkata, walaupun sudah lapan  tahun ibunya tiada tetapi mereka dapat merasakan seperti ibu bapanya 'ada' bersama selain ada 'aura' wanita kesayangannya itu dalam dirinya ketika majlis itu.

"Ketika di pelamin sepupu minta jangan menangis kerana air mata sudah bergenang tetapi saya tak dapat tahan dan terus menangis di situ sebelum menyarungkan cincin di jari tunang adik," katanya.

Berhubung video perkongsiannya di TikTok yang meraih tontonan ramai yang rata-rata netizen turut berasa sedih dengan situasi itu, Nuraqila Syamila berkata, dia sangat berterima kasih dengan semua sokongan diberikan.

"Niat saya cuma mahu berkongsi kenangan dan tak sangka ramai yang balas dengan sokongan, malah ada juga yang berkongsi cerita mereka.

"Sekarang hanya tinggal kami tiga beradik tetapi saya akan cuba memberikan majlis yang terbaik untuk adik nanti dengan bantuan ahli keluarga lain," katanya.

#kw bertunang, sarung cincin, sebak, anak yatim piatu, anak sulung, rawang, melaka

keterangan gambar: 

pix: RAWANG 03 NOVEMBER 2022. Nuraqila Syamila sebak ketika menyarung cincin pertunangan di  jari tunang adik lelakinya pada 29 Oktober lalu kerana teringatkan arwah ibu bapanya. NSTP/IHSAN NURAQILA SYAMILA.

pix: RAWANG 03 NOVEMBER 2022.Gambar Nuraqila Syamila bersama dua adiknya. NSTP/IHSAN NURAQILASYAMILA. 

pix: RAWANG 03 NOVEMBER 2022. Gambar kenangan ahli keluarga Nuraqila Syamila bersama ibu bapa. NSTP/IHSAN NURAQILA SYAMILA. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 10:24 PM