Kanak-kanak perempuan yang ditemui orang awam sudah diserahkan kepada bapanya. FOTO IHSAN PEMBACA
Kanak-kanak perempuan yang ditemui orang awam sudah diserahkan kepada bapanya. FOTO IHSAN PEMBACA
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Kanak-kanak perempuan sindrom down yang ditemui tanpa dokumen pengenalan diri di belakang sebuah premis jualan barangan elektrik dan kelengkapan rumah di Taman Samudera di sini, sudah diserahkan kepada bapanya, hari ini.

Sebelum itu, terdapat hantaran di Facebook meminta bantuan untuk mengesan ahli keluarga kanak-kanak terbabit dan memaklumkan dia berada di Balai Polis Seri Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun itu ditemui seorang wanita sebelum menghubungi polis jam 9.20 pagi tadi.

"Kanak-kanak itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dibawa ke Balai Polis Seri Manjung untuk proses lanjut.

"Kami kemudiannya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 48 tahun dari Taman Samudera yang memaklumkan kehilangan anaknya, jam 11 pagi," katanya dihubungi.

Menurut beliau, lelaki itu kemudiannya mengesahkan yang kanak-kanak berkenaan adalah anaknya.

"Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada lelaki berkenaan selepas semakan dan pengesahan dibuat," katanya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa peka dengan pergerakan anak terutama anak yang masih kecil dan istimewa.

Keterangan gambar:

Pix: MANJUNG 25 MAC 2021. Kanak-kanak perempuan (kaburkan muka) yang ditemui orang awam sudah diserahkan kepada bapanya. NSTP/IHSAN PEMBACA.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 9:23 PM